3 Mac 1924 – Merenungi Kesilapan Umat Terdahulu

Bulan Mac dan Rejab tahun ini menyaksikan suatu perubahan besar dalam negara kita melalui peralihan kuasa di peringkat kerajaan Malaysia, begitu juga masih menanti perubahan di negeri-negeri seluruhnya. Hal ini selayaknya menginsafkan kita terhadap perihal jatuh bangun sesebuah kekuasaan dan tidak akan ada yang mampu bertahan selamanya kecuali kuasa yang Maha Agung iaitulah Allah taala.

Firmah Allah SWT :

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya :

            ‘Āli `Imrān:26 – Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Maksud menaikkan dan menjatuhkan

Berkata Qatadah r.a “Suatu ketika, Rasulullah saw memohon kepada Allah agar kerajan Rom dan Parsi menjadi penganut agama Islam lalu turunlah ayat ini.”
– riwayat Abu Hatim menurut Imam Qurthubi

 

As Syahid Sayid Qutub ketika mengupas ayat ini antaranya menyebutkan :

 

“…Dialah yang mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki  sebahagian dariapda kekuasaanNya  sebagai suatu PINJAMAN, yang bebas diambilnya pada bila-bila masa sahaja yang dikehendakiNya. Apabila si peminjam melakukan urus tadbir yang  bertentangan dengan syarat-syarat itu, maka urus tadbir itu tidak sah dan wajiblah dikembalikan semula kuasa itu…” 

 

Kata beliau lagi “…. Dalam pentadbiran Allah terdapat elemen kebajikan dan kebaikan. DIA menjalankan pentadbiran dengan ADIL dan SAKSAMA. Dia memberi kekuasaan dan menariknya kembali juga dengan ADIL dan SAKSAMA…” Sebab itu Allah mengakhiri ayat ini dengan ucapan “ditangan engkaulah terletaknya segala kebaikan:…”

 

Hal ini perlu kita sedari, di Malaysia Allah telah memberi izin kepada Barisan Nasional memerintah lebih 60 tahun lamanya,  lalu Allah gantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan yang berkuasa tidak sampai 2 tahun, dan kini Allah memberi laluan buat kerajaan Perikatan Nasional  yang belum diketahui berapa panjang umurnya. 

 

Allah telah memberikan kekuasaan kepada golongan yang bertaqwa seumpama Nabi Sulaiman, Nabi Daud a.s, Nabi Muhammad saw dan para sahabat r.a, lalu Allah juga telah memberi kekuasaannya kepada golongan yang menderhakai Allah untuk berkuasa dalam tempoh yang panjang kepada Firaun, begitu juga Raja Nebuchadnezzar, kemudian kekaisaran Rom dan Parsi. Ini bermakna hak kekuasaan ini boleh terjadi kepada golongan yang zalim dan yang bertaqwa.

 

Sejarah menyaksikan bagaimana pemerintahan kerajaan Islam yang bertahan begitu lama turut jatuh. Tarikh 3 Mac 1924 pastinya diingati oleh setiap umat Islam sebagai kejatuhan yang menginsafkan. Kejatuhan ini bukanlah bermula sehari dua sebelumnya, bahkan beberapa tempoh yang panjang.

Fasa kemerosotan Uthmaniah

Menurut Dr Ali As Solabi, ahli sejarah bersepakat bahawa kemerosotan kerajaan Uthmaniah bermula selepas kewafatan Sultan Sulaiman Al Qanuni (974H/1566M) yang digantikan dengan Sultan Salim ke II. (1566 – 1574M). Kemudian diganti pula oleh Sultan Murad III (1574 – 1594M), perintah pertama yang dikeluarkan oleh baginda adalah pengharaman arak yang begitu berleluasa menjadi suatu gambaran bahawa praktikal Islam sudah semakin melemah.

 

Hingga sampai kepada era pemerintahan Sultan Ahmad III (1703 – 1730M), dikatakan bahawa Menterinya pada waktu itu iaitu Damdad Ibrahim Pasha yang menjadi individu pertama yang memulakan kerjasama persenjataan dengan Eropah dan seterusnya menjadi pintu masuk untuk budaya dan ideologi Eropah meresap masuk perlahan-lahan. Begitu juga di era Sultan Abdul Majid Awal (1839 – 1860) yang menghapuskan hukuman terhadap perasuah dan menyama ratakan hak semua agama.

Kesilapan umat yang perlu diambil iktibar

Memperingati kejatuhan kerajaan Uthmaniah, beberapa iktibar yang boleh kita hayati supaya tidak diulanginya semula. Begitu banyak tulisan yang telah mengupas dan pendedahan yang bermanfaat, saya hanya mengambil beberapa poin yang penting-penting sahaja.

i. Semakin jauh daripada hukum Islam dan kekaguman terhadap Eropah – Pemerintah dan umat sudah tidak mempedulikan lagi persoalan menegak hukum agama dan begitu teruja untuk mencontohi kemajuan Eropah yang baru bangkit dari zaman gelapnya.

ii. Campur tangan pihak luar – Pemberontakan demi pemberontakan yang menggugat kestabilan Negara. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintah menjadikan campur tangan pihak luar untuk menjatuhkan Negara menjadi lebih mudah. Maka dengan sebab itu sebarang usaha ke arah pemberontakan mestilah ditangani dengan berhemat, bukan dengan kekerasan semata-mata.

iii. Kebangkitan anak muda yang dipandang remeh – Antara golongan yang paling mudah ditarik perhatiannya adalah anak muda, mereka menjadi picu utama untuk melawan dan menentang. Adalah menjadi suatu yang amat penting memahami dan mendekati golongan anak muda sebagai aset masa depan Negara, bukan sebagai ancaman apatah lagi diabaikan.

iv. Perpecahan sesama kerajaan Islam – Perkara yang sama berlaku kepada kerajaan Abbasiah, juga berlaku kepada Uthmaniah. Pemerintahan kerajaan-kerajaan kecil terasing daripada kerajaan pusat antaranya Kerajaan Mamalik di Iraq, Ali `Azam di Syria, Muhammad Ali Pasha di Mesir, Zhahir Al Umar di Palestin, Al Qaramli di Libya dan Ahmad Al Jazar di Aka.

v. Rasuah yang berleluasa menjadikan pengkhianatan dalaman memuncak dan sukar dikesan. Ditambah pula dengan Yahudi Daunamah yang berperanan penting dalam merancang dan mendekati penasihat serta menteri-menteri dalam kerajaan Sultan Abdul Hamid II hingga tertubuhnya parti Ittihad wat Taraqi yang didominasi anak muda Turki.

vi. Pembudayaan Ilmu yang mati dan menyeleweng dalam kalangan umat juga mencukupkan elemen untuk kejatuhan ini berlaku. Sebaran ilmu hanya berlaku secara rutin dalam topik yang tidak menyumbang membangkitkan kesedaran umat.

Dan barangkali banyak lagi elemen yang sememangnya menyumbang pada kejatuhan sekalipun memiliki ketokohan dan ketegasan pada  sosok tubuh Sultan Abdul Hamid II pada waktu itu, namun ia tidak lagi mampu dibendung. Melalui pengkisahan sejarah, tidak ada sebab untuk seseorang itu merasa ghairah untuk berkuasa apatah lagi menzalimi rakyat. Malangnya, bacakah kita ? Seandainya baca, sedarkah kita ? Sebelum berkuasa begitu komited mahu membela umat, lalu mengapa bila berkuasa kalian berubah ?

Mohd Adlan Mokhtaruddin

03 Mac 2020

Rujukan

  • Tafsir Fi Zhilal Quran,
  • Tafsir Al Qurthubi,
  • Sejarah Umat Islam Dr. Hj Hamka,
  • Daulah Uthmaniah Dr. Ali As Solabi,
  • Kisah Islam Dr. Raghib As Sarjani.

Related posts

Leave a Comment