Era Kerasulan Bermula

Khalwat

Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan pengislahan, Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kesesatan dan kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.

Nabi Muhammad SAW tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak pernah mengimpikannya. Apa yang Allah ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah.

Sekiranya Baginda SAW bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan kepadanya. Baginda juga tidak akan menemui Khadijah meminta penerangan tentang rahsia kejadian yang dilihatnya dalam Gua Hira itu.

Dari masa ke semasa, pendakwah kepada Allah mestilah mempunyai waktu untuk dia bersendiri. Dalam tempoh itu, rohnya berhubung dengan Allah Jalla Sya’nuh. Jiwanya dibersihkan daripada kotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekelilingnya.

Bersendiri seumpama ini akan mengajak pendakwah memuhasabah diri, andainya dia cuai melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang dituju dan menjauhi jalan hikmah. Boleh jadi dia melakukan kesilapan dalam cara, manhaj dan jalan, atau dia tenggelam bersama orang ramai dalam perdebatan dan perbincangan yang mengalpakannya daripada zikrullah.

Oleh kerana itu, tahajjud dan qiamullail menjadi fardhu bagi Nabi SAW dan hanya sunat kepada orang lain. Orang yang sepatut mengambil berat amalan sunat ini ialah para pendakwah ke jalan Allah, syariat dan syurga-Nya. Khulwah (bersendirian), tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan yang tidak diketahui kecuali mereka yang Allah muliakan melalui amalan-amalan tersebut.

Penurunan Wahyu Pertama

Wahyu diturunkan kepada Rasul SAW: Apabila Nabi SAW berusia genap 40 tahun, Jibril turun membawa wahyu kepada Baginda. la berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan.[1]

Imam al-Bukhari meriwayatkan kepada kita tentang cara penurunan wahyu:

Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ialah mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk berkhulwah (bersendirian). Baginda berkhulwah di Gua Hira.

Baginda beribadat di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang menemui keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian Baginda kembali menemui Khadijah, mengambil bekalan yang seumpamanya.

Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di Gua Hira. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata:

Bacalah. Baginda berkata: Aku tidak tahu membaca.

Baginda menceritakan:

Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan. Kemudian dia melepaskan aku.

Dia berkata lagi: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca.

Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali kedua sehingga aku merasa penat. Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata kembali: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca.

Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga. Kemudian dia melepaskan aku seraya berkata:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

  1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
  2. Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
  3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
  4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,
  5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri Baginda, Khadijah RAH., kemudian sepupu Baginda, Ali RA. Ketika itu Ali masih kanak-kanak berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin Harithah. Kemudiannya Abu Bakar as-Siddiq RA. Hamba sahaya yang mula-mula sekali memeluk Islam ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Oleh itu, Khadijah merupakan orang yang pertama beriman dengan Baginda secara mutlak..[2]

Rujukan :

[1] Muhammad Al-Khudory, Nurul Yaqeen Fi Seerah Sayyid Al Mursalin, hlm 22, jld 1.

[2] Dr Ramadhan Buti, Fiqh al-Sirah, m.s92.., jld 1

Related posts

Leave a Comment