GRADUAN SULUNG KUIZM BERGRADUASI DARI INSTITUT AGAMA ISLAM TAZKIA

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM)

Bidang Ekonomi Islam semakin berkembang setelah dunia global melihat kepincangan pembangunan ekonomi berteraskan dua ideologi ekonomi-politik utama dunia, Liberalisme dan Sosialisme. Dengan Malaysia menjadi pelopor kepada perkembangan bidang Ekonomi Islam di dalam dunia Islam hari ini, bidang ini telah diinstitusikan sehingga menjadi semakin popular di institusi-institusi pengajian tinggi. Salah sebuah institusi yang berazam mengungguli perkembangan bidang ini ialah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang diasaskan oleh Dewan Ulama PAS Pusat.

Bagaimanapun, perkembangan semasa bidang Ekonomi Islam ini masih berfokus kepada perbankan dan kewangan berasaskan sistem Islam. Dengan pengertian lain, perkembangan bidang Ekonomi Islam masih di peringkat permulaan meskipun ia sudah hampir lima dekad diterokai. Masih terdapat banyak lagi sektor di dalam bidang ini yang belum diterokai atau berkembang sepenuhnya, antaranya bidang Percukaian Islam, Perakaunan Islam dan lain-lain. Agenda memperkembangkan bidang Ekonomi Islam ini menjadi fokus beberapa institusi antaranya Institut Agama Islam TAZKIA (TAZKIA).

TAZKIA atau sebelumnya dikenali sebagai Sekolah Tinggi Ekonomi Islam (STEI) TAZKIA merupakan antara institusi pengajian tinggi di Indonesia yang menawarkan bidang Ekonomi Islam secara menyeluruh. Institusi ini merupakan institusi yang tersohor di negara tersebut dan antara yang cukup dikenali di dalam perkembangan pengajian Ekonomi Islam di peringkat global. Pada 28 November 2019 yang lalu, tiga graduan Diploma Muamalat dan Kewangan Islam KUIZM telah bergraduasi dari TAZKIA setelah melanjutkan pengajian di sana selama tempoh dua tahun.

Tiga graduan KUIZM tersebut telah mengikuti Diploma Muamalat dan Kewangan Islam selama tempoh tiga tahun di KUIZM. Setelah menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, mereka telah dianugerahkan diploma, dan dengan kelulusan yang baik di peringkat diploma mereka layak untuk melanjutkan pengajian di TAZKIA untuk memperolehi ijazah Sarjana Muda dengan tambahan tempoh dua tahun lagi. Melalui kerjasama KUIZM dan TAZKIA, pelajar memerlukan hanya lima tahun untuk memperolehi ijazah Sarjana Muda daripada institut berprestij tersebut.

Seperti yang dinukilkan di atas, penerokaan bidang Ekonomi Islam ini masih muda, dan masih luas lagi bidang ini yang belum diterokai. Sehubungan dengan itu, KUIZM sendiri berazam untuk mempelopori perkembangan bidang-bidang baru tersebut di samping fokus yang sedia ada iaitu perbankan Islam dan kewangan Islam. Dalam tempoh terdekat KUIZM berusaha untuk menerokai bidang Keusahawan Islam yang merupakan antara keperluan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di TAZKIA. Pihak KUIZM mengucapkan tahniah kepada tiga graduan KUIZM yang baru bergraduasi baru-baru ini.

11 Disember 2019
14 Rabiulakhir 1441

Related posts

Leave a Comment