Hubungan Antara Fiqh Taysir Dengan Fiqh Dalil

Hubungan Antara Fiqh Taysir Dengan Fiqh Dalil

Secara asasnya semua yang berkaitan dengan Fiqh Taysir berdiri di atas dalil. Fiqh Taysir tidaklah bermaksud bahawa kita boleh mencari mazhab yang paling senang serta mengambil sesuatu yang paling ringan. Tidak begitu, malahan kita mesti mengikut dan berpandukan dalil.

Terdapat manusia yang tabiatnya suka memudahkan dan ada pula manusia yang tabiatnya suka mempersulitkan. Nabi s.a.w. menunjukkan kepada kita agar tidak mempersulitkan sesuatu meskipun pada dalil asalnya sememangnya elok, tetapi wajar dipermudahkan, maka mempermudahkan itu juga berdasarkan dalil.

Sebagai contoh, memanjangkan bacaan solat sememangnya membanyakkan pahala, namun jika ada keperluan Taysir tidak wajar dipanjangkan solat tersebut.

Baginda pernah memulakan solat, dan selesai solat baginda bersabda:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنِّي لَأَدْخُلُ فِي الصَّلَاةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلَاتِي مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ

Nabi SAW bersabda: “Saat aku solat dan ingin memanjangkan bacaanku, tiba-tiba aku mendengar tangian bayi sehingga aku pun memendekkan solatku, sebab aku tahu ibunya akan susah dengan adanya tangisan tersebut.” Sahih Bukhari no : 667

Kanak-kanak itu sedang menangis, ibunya yang bersedih serta sangat menyesalinya, lalu supaya tidak mengganggu ibu itu Baginda meringankan solat.

Lihatlah baginda menjaga situasi orang ramai di sisinya. Inilah juga manhaj Taysir, Baginda mempunyai sifat belas kasihan dan sememangnya Rasul adalah penyayang:

بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Penyayang terhadap orang-orang mukmin. (at-Taubah:128)

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ

Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (al-Anbiya:107)

Fiqh Taysir Adalah Fiqh Mentarjih Dalil

Oleh itu wajar kita nyatakan bahawa, termasuk manhaj Taysir itu jika terdapat dua pendapat yang sama padan atau saling berdekatan, dari sudut kekuatan dalilnya, yang mana salah satunya lebih berwaspada, manakala satu lagi lebih mudah. Manakah yang wajar diambil?

Wajar kita katakan bahawa Fiqh Taysir juga adalah fiqh yang mentarjih dalil. Maksud mentarjih ini bukan semata mengkaji kekuatan dalil tetapi yang lebih utama ialah kesesuaian dalil. Kesesuaian dalil untuk diaplikasikan.

Maka, berdasarkan manhaj Taysir, adalah wajar diberikan fatwa kepada orang biasa/awam dengan pendapat yang lebih mudah. Ini kerana terdapat golongan yang mampu, yang nekad dan mereka memang kuat serta beriman, seperti kesanggupan berpuasa dan bangun malam,  memang wajar memperketatkan mereka ini. Tetapi kepada golongan awam yang biasa-biasa sahaja amalan mereka, maka wajar diberi fatwa kepada mereka dengan yang lebih mudah.

Ini adalah berdasarkan kepada dua dalil, pertama hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah:

مَا خُيِّرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَأْثَمْ فَإِذَا كَانَ الْإِثْمُ كَانَ أَبْعَدَهُمَا مِنْهُ

Rasulullah SAW tidak pernah diberi tawaran untuk memilih dua perkara, melainkan Baginda memilih yang paling ringan selama tidak menjadi dosa, namun jika mengandungi dosa, Baginda adalah manusia yang paling jauh darinya…. Sahih Bukhari, no : 6288

Dalil kedua ialah Nabi s.a.w. marah kepada orang-orang yang memanjangkan solat bersama orang ramai. Muaz bin Jabal pernah membaca surah-surah panjang lalu beberapa orang telah merasa sengsara akibat dari perbuatan ini dan sesetengah orang sering meninggalkan solat berjemaah di belakangnya terutama kepada orang yang sibuk.

Nabi walaupun mengasihi Muaz, namun Baginda bertanya:

أَفَتَّانَ أنتَ يَا مُعاذ ؟ أَفَتَّانَ أنتَ يا مُعاذ ؟ اِقْرأ بِسُورة كَذَا وَسُورة كذا

“Adakah kamu yang telah menimbulkan fitnah wahai Muaz?” Adakah kamu yang telah menimbulkan fitnah wahai Muaz?” Bacalah dengan satu surah yang sewajarnya. (Sahih Ibnu Hibban.)

Ini bermakna Baginda menegur Muaz supaya dia tidak membebankan orang ramai serta menyukarkan mereka.

Pada situasi yang lain menunjukkan kemarahan Baginda apabila ada yang tidak menghiraukan keperluan orang lain semasa beribadah;

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ:قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَا أَكَادُ أُدْرِكُ الصَّلَاةَ مِمَّا يُطَوِّلُ بِنَا فُلَانٌ فَمَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْ يَوْمِئِذٍ فَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Dari Abu Al-Mas’ud Al-Anshari berkata, seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak sanggup solat yang dipimpin seseorang dengan bacaannya yang panjang.”

Maka aku belum pernah melihat Nabi SAW memberi peringatan dengan lebih marah dari yang disampaikannya hari itu seraya bersabda:

Wahai manusia, kalian membuat orang lari menjauh. Maka barangsiapa solat mengimami orang-orang ringankanlah. Kerana di antara mereka ada orang sakit, orang lemah dan orang yang punya keperluan“. Sahih Bukhari no: 88

Orang tua tidak mampu menanggung solat yang panjang, juga orang lemah yang sakit dan orang yang mempunyai keperluan. Seorang yang hendak musafir mungkin terlepas penerbangannya iaitu situasi masjid yang ada di tepi lapangan terbang, lalu dia duduk serta memanjangkan solat kepada orang ramai sedangkan sesetengah orang ingin solat lalu bergegas menaiki pesawat mungkin akan terlepas penerbangannya. Penegasan Nabi dalam soal ini menunjukkan bahawa Baginda suka mempermudahkan manusia.

Justeru, jelas Fiqh Taysir adalah fiqh yang mentarjih dalil. Bukan semata mengkaji kekuatan dalil tetapi yang lebih utama ialah kesesuaian dalil. Kesesuaian dalil untuk diaplikasikan.

Fiqh Taysir Adalah Mempermudahkan Ketaatan

Pemudahan yang dimaksudkan ialah menyatakan rukhsah(keringanan) dan tidak terbatas kepada ‘azimah(hukum asal). Ia mengurangi taklif( beban tanggungjawab) kepada manusia, tidak menambah bebanan kepada orang ramai. Keringanan itu adalah anugerah, maka perlu dilakukan tanpa sebarang helah dan dalih.

Oleh itu Al-Quran jelas menyatakan bahawa ada perkara suruhan yang telah jelas, maka tidak perlu kepada dalihan atau helah dengan terus menerus bertanya, seolah-olah inginkan keringanan tetapi sebenarnya ingin mengelak melakukan ketaatan.

Allah memaparkan tindakan golongan yang mencari dalih untuk tidak melakukan ketaatan;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu. (al-Maidah:101)

Ini supaya orang ramai tidak membanyak-banyakkan bertanya kerana setiap kali mereka banyak bertanya maka bertambahlah tanggungjawab (taklif) mereka.

Allah menceritakan mengenai Bani Israel:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا۟ بَقَرَةً

Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina.” (al-Baqarah:67)

Sekiranya mereka pergi mencari seekor lembu betina lalu membelinya dari pasar maka lembu betina itu sudah mereka dapati, tetapi kerana mereka adalah orang-orang yang keras hati maka mereka masih lagi mahu bertanya:

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ

Mereka menjawab: ” Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar dia menerangkan kepada Kami; lembu betina apakah itu?” (al-Baqarah:68)

Pelbagai persoalan, usia lembu itu berapa? Lembu yang muda atau yang tua?

قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌۢ بَيْنَ ذَٰلِكَ

Musa menjawab: “Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu”.  (al-Baqarah:68)

kemudian;

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ صَفْرَآءُ فَاقِعٌ لَّوْنُهَا

 Mereka berkata: “Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya”. Musa menjawab: “Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, “ (al-Baqarah:69)

Mereka berkata: mintalah Tuhan kamu menerangkan lagi:

قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا ذَلُولٌ تُثِيرُ ٱلْأَرْضَ وَلَا تَسْقِى ٱلْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌ لَّا شِيَةَ فِيهَا

Musa berkata: “Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman”. (al-Baqarah:71)

Setiap kali Nabi Musa meminta untuk mereka, datang perintah yang merumitkan. Mereka ini adalah golongan yang suka merumitkan.

Islam tidak suka corak sebegini, oleh itu Nabi bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ

Dari Abu Hurairah bahwa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang mempersulitkan agama kecuali dia akan dikalahkan (semakin berat dan sulit). Sahih Bukhari no 38

Mereka ini termasuklah Bani Israel, dan kaum Nasrani ketika mereka merekacipta kependitaan:

وَرَهْبَانِيَّةً ٱبْتَدَعُوهَا

Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah. (al-Hadid:27)

Mereka mengharamkan ke atas diri mereka apa yang dihalalkan oleh Allah, dan mereka mempersempitkan ke atas diri mereka apa yang Allah luaskan. Islam tidak ingin kita mengikuti mereka ini. Semuanya kita meletak keluasan serta kelapangan di tempatnya.

Manhaj Taysir “Memudahkan” bukan “Mempermudah-mudahkan”

Kita melihat sesetengah orang mencela manhaj Taysir ini merupakan golongan yang suka merumitkan, dan golongan yang memperketatkan tentu tidak suka golongan yang memudahkan. Seseorang yang sangat keras tentu tidak suka seorang yang memudahkan.

Sebenarnya kita tidak memusuhi manhaj fiqh dalil sama sekali. Para penyeru manhaj Taysir tidak bermakna menyenangkan umat manusia dengan menghalalkan bagi mereka benda yang haram atau mensyariatkan untuk mereka dalam urusan agama apa yang tidak diizinkan oleh Allah. Ini bukan makna “memudahkan”. “Memudahkan” bukan bermakna “mempermudah-mudahkan” atau meremehkan agama Islam.

Ada orang yang semangatnya memudahkan, semangatnya mengikut Nabi Muhammad meringankan, yang membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka, dialah yang mencari manhaj memudahkan. Dia memandang sepintas lalu dalil memudahkan dan dia tidak mengimbas dalil merumitkan sama sekali. Maka dalil merupakan sandaran keseluruhan perkara yang dimudahkan itu.

Para pengikut manhaj Taysir Nabi akan melihat sepintas lalu dalil-dalil yang menyuruh memudahkan, mengumpulkannya, dan memberi fatwa dengannya. Para pengikut manhaj ini yang memberi fatwa dengan memahami bahawa ia tidak bererti menghalalkan untuk manusia apa yang diharamkan oleh Allah.

Syeikh Dr. Yusus Qaradawi dikenali sebagai seorang yang suka memudahkan dan tokoh manhaj Taysir tetapi terdapat beberapa posisi sikap beliau yang agak keras contohnya dalam soal pengharaman riba, soal pengharaman merokok, mengapa? Beliau mengatakan: Berikan kepada saya dalil! Saya tidak menemui dalil yang mengizinkan saya menyatakan bahawa merokok itu halal. Ini kerana jika kita memerhatikan Quran:

وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ

Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, (al-Baqarah:195)

وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (an-Nisa:29)

Merokok merupakan proses pembunuhan diri secara perlahan. Bunuh diri, saya tidak akan berfatwa membolehkan perbuatan ini. Ia juga adalah perbuatan mensia-siakan  harta sedangkan Nabi s.a.w. menegah kita mensia-siakan harta. Ia juga memudaratkan diri sendiri dan orang lain, iaitu orang yang duduk bersamanya atau orang yang menaiki kereta bersamanya terpaksa menyedut dengan hidung asap rokok. Maka ia memudaratkan diri dan orang lain.

Sekiranya kita memerhatikan lima maqasid syariah: menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan, kita akan mendapati perbuatan merokok ini memudaratkan diri anda, keturunan anda, harta anda, akal anda dan agama anda. Maka saya tidak menemui bentuk untuk saya menyatakan bahawa saya akan memudahkan perbuatan merokok dengan merokok itu makruh sahaja bukan haram. Tidak sama sekali. Saya menyatakan ia haram, kerana dalil yang ada membawa saya memperketatkan hukum.

Manhaj Taysir Adalah Manhaj Nabawi

Adakah raut wajah manhaj memudahkan ini merupakan manhaj Nabi yang asli?

Ya, ia memang manhaj Nabi yang asli tanpa diragui. Orang yang paling banyak memudahkan manusia adalah Nabi s.a.w.

Kita telitikan bersama satu contoh yang berlaku semasa hidup Nabi.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَمَا أَهْلَكَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ قَالَ هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَجِدُ مَا تُطْعِمُ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ ثُمَّ جَلَسَ فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ فَقَالَ تَصَدَّقْ بِهَذَا قَالَ أَفْقَرَ مِنَّا فَمَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ اذْهَبْ فَأَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Dari Abu Hurairah RA, ia berkata; Seorang laki-laki datang menghadap Nabi SAW dan berkata, “Celaka diriku wahai Rasulullah.”

Baginda bertanya: “Apa yang telah mencelakakanmu?

Laki-laki itu menjawab, “Saya telah menggauli isteriku di siang hari pada bulan Ramadlan.”

Baginda bertanya: “Sanggupkah kamu untuk memerdekakan budak?” Dia menjawab, “Tidak.”

Baginda bertanya lagi: “Sanggupkan kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?” “Tidak.” jawabnya,

Baginda bertanya lagi: “Sanggupkah kamu memberi makan kepada enam puluh orang miskin?” Dia menjawab, “Tidak.”

Abu Hurairah berkata; Kemudian laki-laki itu pun duduk, sementara Nabi SAW diberi satu keranjang berisi kurma.

Maka Baginda pun bersabda: “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Laki-laki itu pun berkata, “Adakah orang yang lebih fakir dari kami. Kerana tidak ada penduduk di sekitar sini yang lebih memerlukannya daripada kami.” Mendengar ucapan itu, Nabi SAW tertawa hingga gigi taringnya terlihat.

Akhirnya Baginda bersabda: “Pulanglah dan berilah makan keluargamu dengannya.”

Sahih Muslim, no : 1870

Inilah manhaj memudahkan. Para sahabat adalah orang yang paling banyak memudahkan selepas Rasulullah s.a.w., khususnya para fuqaha’ sahabat, iaitu Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Muaz bin Jabal. Demikian jugalah ahli fatwa dari sahabat Nabi, Abu Bakar dan Umar. Mereka adalah orang yang paling banyak memudahkan.

Oleh itu, setiap kali kita berhenti pada suatu zaman kita akan mendapati proses merumitkan itu bertambah sedikit demi sedikit. Alasan asalnya adalah wajar, mereka berkata: kita ambillah yang lebih berwaspada. Setiap zaman menambah perkara yang lebih berwaspada dari zaman sebelumnya sehinggalah sampai ke zaman terakhir ini, yang mengumpulkan semua kewaspadaan. Akhirnya ia menjadi lebih rumit, lebih berat, dan terlebih waspada, lalu jadilah ia beban-beban dan  belenggu-belenggu.

Tetapi manhaj Nabi adalah memudahkan segala urusan, dalam ibadah serta muamalat dengan menjaga hak orang, kelemahan orang yang lemah, wanita, orang tua, orang-orang cacat dan orang-orang sakit. Rasul SAW sentiasa memudahkan mereka. Sebagaimana yang kita nyatakan, manhaj Taysir ini bermakna memberi fatwa untuk rukhsah ketika mereka berhajat kepada rukhsah, iaitu mengurangkan tanggungjawab mereka.

Ini sebagaimana dilakukan oleh Bani Israel di mana mereka merumitkan lalu Allah merumitkan urusan mereka.  Begitu juga kaum Nasrani. Lihatlah kesan-kesan Nasrani yang tinggal di biara-biara, beribadah di dalamnya para pendita yang mengasingkan diri dari kehidupan atau mengasingkan diri dari wanita sehingga mereka menganggap perempuan itu seolah-olah kotoran dari amalan syaitan, sehingga lari dari bayangan wanita sehingga tidak mahu bertemu ibu atau saudara perempuan kerana ia dari jenis wanita. Ini adalah merumitkan. Inilah raut wajah umum untuk manhaj Taysir ini yang merupakan manhaj Nabi yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.

Related posts

Leave a Comment