Kaitan dan Perbezaan Antara Rukhsah Dengan Taysir

Pengenalan

Sebelum kita pergi jauh dalam pengkajian serta perbincangan mengenai elemen pemudahan/taysir dalam Syariat Islam, mestilah dibincangkan berkenaan Rukhsah atau keringanan fiqh yang dianggap sebagai separuh daripada syariat yang luas ini.

Para ulama sepakat bahawa Rukhsah merupakan salah satu dari dua bahagian yang melibatkan seluruh hukum-hukum, iaitu: bahagian hukum asal/’azimah dan bahagian peringanan/Rukhsah.

Rukhsah ini pada hakikatnya merupakan elemen Taysir yang paling utama di dalam syariat Islam.

Takrifan Rukhsah

رُخْصَةْ  Rukhsah pula adalah dari kata kerja رَخَصَ   rakhasa. Disebut أَرْخَصَ  arkhasa jika memudahkan dan menyenangkan. Rukhsah juga menunjukkan kepada kelembutan, tidak kasar, dan lemah-gemalai[1].

Kata ini semuanya menunjukkan kesenangan, kemudahan, kelembutan dan lemah-gemalai. Dari makna mengikut bahasa ini maka diambil Rukhsah sebagai satu istilah di kalangan para pakar Usul Fiqh kerana ia menunjukkan kepada semua pengertian dalam agama yang cenderung kepada pemudahan dan penyenangan serta jauh daripada pemaksaan dan penegasan.

Tajuddin Al-Subki telah memberi definisi Rukhsah: “Rukhsah adalah hukum syarak yang berubah kerana keuzuran kepada kesenangan serta kemudahan di samping ada sebab untuk hukum asal seperti makan bangkai untuk orang yang terpaksa[2].

Kaitan dan Perbezaan Antara Rukhsah Dengan Taysir

“Taysir” secara kalimahnya bermaksud “Mudah” maknanya senang, berlapang dada serta keluasan. Lawannya adalah “Ta’sir” maknanya “kesusahan”. Sesuatu yang “susah” maknanya rumit, sempit dan sulit.

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah Al-Qamar ayat 17)

Makna Tayseer dari sudut feqhnya adalah sama dengan sudut bahasa.[3]

Gabungan dua kalimat “Fiqh al-Taysir” pula bermaksud mengambil hukum yang ringan atau mudah dari pandangan para fuqaha’ dalam perkara-perkara yang berlaku ikhtilaf antara mereka.[4]

Terdapat definisi lain Fiqh Taysir iaitu : Pensyariatan hukum-hukum yang mengambil kira keperluan dan keupayaan mukallaf dalam mematuhi perintah dan larangan tanpa menjejaskan prinsip-prinsip asas pensyariatan hukum tersebut.[5]

Dr Usamah yang mengkaji Fiqh Taysir sebagai tesis kedoktorannya telah membuat kesimpulan bahawa Fiqh Taysir dari sudut istilah syara’nya ialah ;

“Menjadikan sesuatu arahan syara’ itu perkara yang boleh dilaksanakan tanpa sebarang kesukaran dan kepayahan”[6]

Taysir Lahir Disebabkan Wujudnya Masyaqqah

Salah satu teras kepada kaedah syarak ialah kaedah :

"المشقة تجلب التيسير"

Maknanya : Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Masyaqqah atau kesukaran yang akan menjadi sebab kepada keringanan dan dipermudahkan berdasarkan kaedah ini ialah masyaqqah atau kesukaran yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan boleh memudharatkan diri seseorang dan menghalangnya dari melakukan kerja amal yang berguna.

Seperti masyaqqah atau kesukaran yang berpunca dari puasa tanpa berbuka atau berterusan berjaga malam melakukan ibadat sunat tanpa rehat.

Disyaratkan juga  masyaqqah atau kesukaran itu secara umum memang sering berlaku seperti wuduk perempuan yang istihadhah bagi setiap kali solat fardu.

Adapun yang jarang-jarang berlaku maka masyaqqah itu tidak diambilkira. Ianya termasuk dalam kaedah :

النادر كالمعدوم

Ertinya “Perkara yang jarang-jarang berlaku dianggap tiada”.

Adapun masyaqqah atau kesukaran biasa, yang pasti wujud dalam melaksanakan kewajiban dan kerja-kerja untuk keperluan hidup seharian yang mampu dilakukan oleh manusia tanpa mendatangkan kemudharatan maka masyaqqah ini tidak menghalang dari tanggungjawabnya (taklif ke atasnya), bahkan Syara’ tidak mengangkatnya seperti masyaqqah atau kesukaran bekerja dan mencari rezeki, berjihad menentang musuh, masyaqqah atau kesukaran dalam melakukan amal ibadat fardu dan hukum jenayah hudud dan qisas.

Maka, apabila wujudnya masyaqqah yang diakui atau muktabarah barulah boleh menerima keringanan رخصة   dan kemudahan تيسير  .

Rujukan

[1] Lihat: Mukhtar Sahhah, m.s. 238; Qamus al-Muhith, m.s. 800.

[2] Tasynif Masami’ Bi Jam’u Jawami’, 1/95,

[3] Mausu’ah Fiqhiyyah, 14/211

[4] Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Hj Azahari, Fiqh Taisir Dalam Ibadat Haji, m.s. 4, Kertas Kerja 1, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 31, 1436H, Alor Setar. Lihat juga dalam Abdullah Hamad As-Sakakir, Fiqh At-Taysir Fi Al-Hajj dicapai dari pautan http//www.islamtoday.net/nawafeth/art show-86-8440.htm.

[5] Kamal Jawdah Abu Al-Mu’aati(2007) Mazahir At-Taysir Fi Al-Syariah Al-Islamiyyah, Kaherah, Darul Faruq. Lihat dalam Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Hj Azahari, Fiqh Taisir Dalam Ibadat Haji, m.s. 4, Kertas Kerja 1, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 31, 1436H, Alor Setar.

[6] Fiqh At-Tayseer Fi Al-Syari’ah Islamiyyah, m.s. 32

Related posts

Leave a Comment