KEDUDUKAN BAHASA IBUNDA MINORITI DALAM NEGARA MUSLIM DARI PERSPEKTIF ISLAM

1. Pendahuluan

Kewujudan sekolah vernakular yang menggunakan Bahasa Ibunda sebagai Bahasa pengantar, merupakan satu situasi yang yang telah diwarisi oleh masyarakat Malaysia sejak zaman penjajah British lagi. Dasar British semasa era penjajahan di Malaysia ialah memberi kelonggaran kepada kaum-kaum yang ada untuk mendirikan sekolah masing-masing menggunakan Bahasa Ibunda kaum-kaum yang wujud ketika itu. Maka selepas mencapai kemerdekaan sekolah-sekolah tersebut terus wujud meskipun telah digubal dasar-dasar berkaitan pendidikan kebangsaan.

Sekolah-sekolah vernakular yang wujud lazimnya mengumpulkan secara terasing kaum tertentu di dalam kawasan sekolah sehingga berlaku pengasingan ketara antara kaum Bumiputera, Cina dan India semasa alam persekolahan. Akibat daripada pengasingan seperti ini, menyebabkan hubungan antara kaum di Malaysia selalu disebut oleh pihak-pihak tertentu seumpama ‘bom jangka’. Oleh sebab itu, wujud desakan-desakan supaya sekolah seumpama itu dihapuskan, dan mengekalkan hanya satu sekolah yang menggunakan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan).

Di dalam Muktamar PAS baru-baru ini, seorang perwakilan daripada Dewan Muslimat PAS telah mencadangkan semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden supaya sekolah vernakular dihapuskan. Alasan yang diutarakan ialah sekolah jenis ini tidak menyumbang kepada perpaduan rakyat Malaysia. Cadangan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi sama ada bersetuju atau tidak bersetuju. Kertas kerja ini adalah satu daripada reaksi tersebut yang akan membincangkan perkara ini dari sudut pandangan Islam. Ia diharapkan dapat menjadi satu sumber khususnya kepada PAS dalam menentukan sikap tentang sekolah ini.

2. Kepelbagaian Bahasa Menurut Al-Quran dan Al-Hadith

Sebagai Rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah swt kepada seluruh manusia, risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw telah disebarkan kepada seluruh kaum yang mempunyai bahasa kaum mereka yang tersendiri. Meskipun al-Quran yang menjadi kitab terakhir diturunkan di dalam Bahasa Arab, ajaran daripada kitab suci itu diajar kepada kaum-kaum lain dalam bahasa mereka. Oleh sebab itu, Rasulullah saw sendiri memerintahkan kepada sahabat-sahabat Baginda untuk mempelajari bahasa asing, antaranya Zaid Bin Thabit ra telah diperintahkan mempelajari bahasa yang digunakan oleh Yahudi. Diriwayatkan oleh Abu Dawud:

عن خارجة بن زيد بن ثابت قال: قال زيد بن ثابت: أمرني رسول الله - صلى الله عليه وسلم - فتعلمت له كتاب يهود، وقال: إني والله ما آمن يهود على كتابي، فتعلمته، فلم يمر بي إلا نصف شهر حتى حذقته، فكنت أكتب له إذا كتب ، وأقرأ له إذا كُتِب إليه

Dari Kharijah bin Zaid bin Tsabit, dari ayahnya; Zaid bin Tsabit, ia berkata: Rasulullah saw menyuruhku untuknya mempelajari buku Yahudi (bahasa). Maka demi Allah, aku tidak merasa aman dari (pengkhianatan) yahudi atas suratku. Maka tidak sampai setengah bulan aku sudah mampu menguasai bahasa mereka. Maka (setelah menguasai bahasa) aku yang menuliskan surat untuk Baginda, dan ketika (yahud menulis surat untuk Baginda maka aku yang membacakannya.

Perintah Rasulullah saw supaya mempelajari bahasa asing (selain Bahasa Arab), menunjukkan bahawa ajaran Islam begitu menghargai kepelbagaian bahasa. Penghargaan Islam terhadap kepelbagaian bahasa boleh dilihat dari aspek-aspek berikut:

2.1 Kepelbagaian Bahasa Merupakan Tanda Kebesaran Allah

Kepelbagaian bahasa yang wujud di atas muka bumi ini mendapat perhatian yang penting di dalam al-Quran, dengan meletakkannya sebagai salah satu tanda kebesaran Allah swt. Firman Allah swt di dalam Surah al-Rum, ayat ke-22:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ

Antara tanda-tanda (kebesaran Allah swt) Dia mencipta langit dan bumi, menjadikan kepelbagaian bahasa-bahasa kamu serta warna kulit kamu. Sesungguhnya pada semua itu menjadi tanda-tanda bagi seluruh alam.

Sebagai bukti tanda-tanda kebesaran Allah swt, sudah tentu kewujudan kepelbagaian bahasa itu perlu dipelihara. Jelas sekali kewujudan kepelbagaian bahasa ini mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam al-Quran.

2.2 Kepelbagaian Bahasa Sebagai Kekayaan Sumber Ilmu

Selain daripada menjadi tanda-tanda kebesaran Allah swt, kepelbagaian bahasa juga menjadi sumber ilmu yang kaya diwarisi oleh seluruh manusia disebabkan para nabi diutuskan oleh Allah swt dengan menggunakan bahasa kaum masing-masing. Firman Allah swt dalam Surah Ibrahim, ayat keempat:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Tidak kami utuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya untuk menerangkan mereka (tentang petunjuk Allah), maka Allah swt menyesatkan sesiapa yang dikehendaki dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki, Dia Maha Mulia lagi Maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat di atas, seseorang Rasul itu menyampaikan ajaran dari Allah (ilmu) mengikut bahasa kaum masing-masing. Demikian juga disebut oleh Rasulullah saw:

عن أبي ذر قال: قال رسول الله، صلى الله عليه وسلم :لم يبعث الله عز وجل ، نبيا إلا بلغة قومه

Daripada Abu Dzar ra, Sabda Rasulullah saw: Tidak dibangkitkan Allah Azza wa Jalla akan seorang Nabi melainkan dengan bahasa kaumnya. (Riwayat Ahmad)

2.3 Kepelbagaian Bahasa Menunjukkan Worldview Diversity

Al-Quran juga menyebut bahawa bahasa mempunyai hubungan dengan sesuatu pandangan semesta (worldview) yang difahami oleh seseorang atau sesuatu komuniti. Firman Allah swt dalam Surah al-Rahman, ayat keempat:

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

Allah mengajar manusia berbicara (menjelaskan sesuatu)

Menurut Tafsir al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan bahawa manusia adalah ciptaan Allah swt yang boleh berbicara (menjelaskan sesuatu dengan kefahaman terhadapnya), lalu ia mengangkat manusia berbeza daripada seluruh haiwan. Oleh sebab itu, bahasa yang digunakan oleh manusia berkait rapat dengan konsep yang difahami tentang perkara itu.

3. Hubungan Bahasa dan Budaya

Sememanganya hubungan antara bahasa dan budaya adalah teramat rapat sekali. Sebagai wasilah untuk berkomunikasi, bahasa begitu terikat dengan budaya yang ada dalam masyarakat berlaku berkomunikasi tersebut. Bagaimanapun menurut Kramsch, hubungan antara bahasa dan budaya ini adalah pelbagai hala dan kompleks. Disebabkan begitu rapatnya hubungan antara bahasa dan budaya maka ada yang membuat kesimpulan, bahasa sebenarnya adalah merujuk kepada budaya atau demikian juga sebaliknya budaya sebenarnya adalah merujuk kepada bahasa.

Dalam pendidikan untuk membangunkan kecekapan berbahasa seseorang, lazimnya ia tidak dapat dipisahkan dengan elemen-elemen budaya yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Demikian juga sebaliknya, untuk memupuk budaya dalam sesebuah masyarakat pula, ia sentiasa beriringan dengan Bahasa Ibunda yang digunakan. Usaha melahirkan seseorang yang mempunyai jatidiri masyarakat tersebut akan tergencat jika dipisahkan antara bahasa dan budaya. Malah, sekiranya mahu dikaji apa sahaja yang berkaitan dengan sesebuah masyarakat, tidak dapat tidak perlu mendalami bahasa dan budaya mereka.

Ketinggian budaya sesebuah masyarakat selalu dikaitkan dengan keindahan bahasa yang mereka gunakan. Di satu peringkat keindahaan bahasa digunakan sesebuah masyarakat melambangkan pencapaian tamadun mereka. Ia juga melambangkan keluhuran jiwa seseorang yang berteraskan nilai yang murni. Di dalam Muqaddimah, Ibn Khaldun menyebut bahawa bahasa-bahasa indah (syair) wujud dalam setiap masyarakat yang bertamadun seperti Tamadun Farsi dan Tamadun Yunani, bukan khusus kepada masyarakat Arab sahaja. Demikian eratnya hubungan antara bahasa dan budaya, malah lambang sesebuah tamadun.

Menyedari hubungan yang erat antara bahasa dan budaya ini, maka pendidikan menggunakan Bahasa Ibunda sesuatu kaum sememangnya penting terutama di peringkat awal kanak-kanak. Demikianlah yang ditunjukkan oleh Sirah Rasulullah saw, apabila Rasulullah saw sendiri dihantar menyusu kepada Halimah al-Sa`diah, yang antara hikmahnya untuk memperkukuhkan Bahasa Arab dan membina fizikal Baginda sebagai seorang hebat. Tempoh masa pembinaan jatidiri seseorang kanak-kanak melalui pengukuhan Bahasa Ibunda adalah di peringkat awal pendidikan kanak-kanak tersebut.

4. Kepentingan Pendidikan Ke Arah Perpaduan

Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, sudah pasti peranan pendidikan sangat penting untuk memupuk semangat perpaduan. Perkara ini terkandung dalam matlamat pertama Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu “melahirkan bangsa Malaysia yang taat dan Bersatu padu”. Cabaran untuk melahirkan pelajar-pelajar seperti ini begitu besar, disebabkan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang ada di negara ini. Hari ini, kerapuhan perpaduan kaum dan integrasi nasional, sistem pendidikan sering dituduh sebagai penyebab utamanya.

Pada masa yang sama, pendidikan di negara ini tidak boleh menolak betapa pentingnya dikekalkan jatidiri kaum dan budaya yang diwarisi daripada leluhur kaum masing-masing. Kaum Bumiputera, Cina dan India adalah pewaris kepada tamadun-tamadun besar dunia yang mempunyai kekayaan warisannya meliputi ilmu, sistem nilai, teknologi dan seumpamanya. Sekiranya dinafikan hak asasi setiap kaum untuk melahirkan generasi yang berjatidiri dan berbudaya kaum masing-masing, maka tidak mustahil warisan berharga tersebut akan pupus di telan zaman.

Menyedari hakikat tersebut, masyarakat Malaysia perlu mencari jalan tengah antara kedua-dua kepentingan ini. Sebenarnya, jalan tengah ini telah dirintis oleh Penyata Razak 1956 iaitu mewujudkan satu aliran pendidikan dengan mengambil kira kepentingan kaum tertentu untuk mempelajari Bahasa Ibunda masing-masing. Antara cadangan Penyata Razak 1956, pembentukan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK). Bagaimanapun, di peringkat menengah Penyata Razak 1956 secara tersirat tidak menggalakkan pelbagai aliran (venakular).

Sifat Penyata Razak 1956 yang kompromi antara Laporan Barnes dan Laporan Fenn Wu seharusnya dilihat sebagai penyelesaian, iaitu menjadikan peringkat sekolah rendah sebagai tahap untuk membentuk jatidiri atau budaya kaum masing-masing dan peringkat sekolah menengah sebagai tahap memupuk perpaduan kaum. Sepatutnya pelaksanaan daripada Penyata Razak 1956 ini berterusan dan ditambah lagi dengan inovasi-inovasi dalam pendekatan pendidikan seperti program-program muhibah seperti sukan dan program budaya antara SRK dan SRJK setempat.

Pembinaan perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia merupakan satu pendekatan yang unik, dan jarang diambil oleh kebanyakan negara yang bermasyarakat majmuk. Malaysia memilih pendekatan ‘bersatu dalam kepelbagaian’ (unity in diversity). Bagaimanapun, tidak dinafikan ada sekelompok pihak yang tidak berkongsi hasrat ini, sehingga terus-menerus tidak mahu bertolak ansur bila berada antara dua kepentingan, membina jatidiri atau budaya kaum masing-masing dan memupuk perpaduan. Golongan inilah yang sentiasa memperjuangkan isu-isu pendidikan bersifat perkauman.

5. Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Islam begitu menghargai kewujudan bahasa yang pelbagai disebabkan ia adalah merupakan tanda-tanda kebesaran Allah swt di samping menjadi sumber ilmu dan keaarifan yang kaya berdasarkan etnik. Pendidikan Bahasa Ibunda juga akan memupuk jatidiri dan budaya seseorang berasaskan kaum masing-masing. Bagaimanapun, di samping perlunya pembinaan jatidiri dan budaya itu, satu lagi aspek yang penting dalam pendidikan ialah pembinaan bangsa Malaysia yang Bersatu padu. Oleh sebab itu, semua pihak yang berkaitan perlu bertolak ansur untuk mencapai kedua-dua kepentingan tersebut.

Kertas kerja ini dibentangkan pada Persidangan Meja Bulat Sekolah Vernakular di Kota Bharu, 10 November 2019.

Related posts

Leave a Comment