Kelahiran Nabi Muhammad SAW

Kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan kedatangan Nur yang menerangi bangsa Arab, dengan lahirnya Nabi ini bangsa padang pasir ini akhirnya menjadi “penakluk dunia”, namun mereka hanya mampu menundukkan dunia setelah mereka menyungkur sujud kepada Allah swt terlebih dahulu, manakala dunia hanya di tapak kaki dan bukan di hati mereka.

Munculnya Cahaya Yang Menerangi Alam

Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail.

Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib (Madinah). Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah mengandung 2 bulan, ayah Baginda meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan lagi.

Sebelum Aminah melahirkan Nabi Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan: “Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.” Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah sejarah 50 hari selepas peristiwa serangan tentera bergajah. Ianya juga bersamaan dengan 20 April 571 Masehi.[1]

Abrahah Al-Habsyi berkuasa di sebagai Gabenor Yaman di bawah pemerintahan Raja Najasyi, Raja Habsyah. Ia telah membangunkan sebuah gereja besar yang diberi nama Al-Qallais. Abrahah ingin gerejanya itu menjadi kiblat seluruh bangsa Arab.
Seorang pemuda dari Bani Kinanah marah apabila mendengar  hasrat  Abrahah itu. Ia pergi ke Yaman dan menyelinap ke dalam gereja itu di malam hari lalu membuang air besar dan kemudian membuang kotorannya di kiblat gereja itu.

Lantaran peristiwa itu, Abrahah marah. Ia bersumpah akan pergi ke Mekkah dan menghancurkan Ka’bah. Abrahah mengerahkan tentera dan pasukan bergajahnya. Namun, perjalanan pasukan gajah ini terhenti di Mina. Allah swt. membinasakan pasukan itu dengan pengiriman Burung Ababil. Maka tahun terjadinya peristiwa itu dinamakan Tahun Gajah.[2]

Irhash Nabi Muhammad Sewaktu Kelahiran

Cebisan lirik lagu Nabi Anak Yatim oleh kumpulan Raihan :

Terpadam api biara majusi..,
Runtuhlah istana Kisra Parsi…,
Mekkah diterangi cahya putih…,
Tanda lahir Nabi anak yatim…,

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi tertimbus.

Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian pelik ini dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.

Allah berfirman:

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

Bermaksud: “Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah.”[3]

Ada antara pendeta ini menyebutkan pada kisra, peristiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi.

Kisra bertanya maksud 14 anjung istana kisra yang runtuh. Mereka berkata: “Kerajaan Farsi akan diperintahkan oleh 14 orang Kisra sahaja lagi dan selepas itu kerajaan Farsi akan jatuh.” Kisra berkata: “Empat belas orang Kisra lagi memaparkan tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlulah dirisaukan.”

Selepas kematian kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang Kisra memerintah Farsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu kerajaan Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.[4]

Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad. Hasan bin Thabit, penyair Nabi menceritakan, salah satu daripada tanda itu, katanya semasa Nabi Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu tujuh tahun.

Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang: “Bintang Ahmad muncul di langit.”

Bintang ini hanya muncul apabila Nabi Muhammad dilahirkan. Hasan menyaksikan sendiri peristiwa itu.[5]

Siti Aminah ibu Nabi Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa beliau mengandungkan Muhammad, dia tidak merasa penat ataupun sakit.[6]

Menurut sejarah lagi, Nabi Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan.[7]

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Nabi Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.

Penamaan Muhammad oleh Datuknya

Setelah bertawaf bersama dengan anak yang mulia itu, Abdul Muttalib menamakannya Muhammad. Ada pendapat yang menyatakan nama itu diberikan berikutan peristiwa pertemuan Abdul Muttalib dengan seorang Rahib Yahudi.[8]

Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad melainkan 3 orang iaitu Muhammad bin Suffian, Muhammad Bin Uhay-ah dan Muhammad Bin ‘Umran.

Ketiga-tiga mereka ini dinamakan Muhammad disebabkan keluarga mereka pernah berjumpa dengan Raja-raja di luar Tanah Arab yang mengkhabarkan mengenai kedatangan seorang Nabi bernama Muhammad, kebetulan isteri-isteri mereka juga sedang mengandung, maka mereka namakan dengan Muhammad.[9]

Ini juga merupakan satu irhash kepada nabi Muhammad di mana tiada siapa terlintas menggunakan nama tesebut dan nama itu dijaga sekian lama walaupun ada disebut di dalam kitab-kitab terdahulu.

Penyusuan Nabi

Baginda disusukan kepada seorang perempuan dari puak Sa’d Bakr yang bernama Halimah binti Abi Zuwaib. Ini adalah mengikut adat resam orang-orang ‘Arab di kala itu.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung Bani Sa’d ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Muhammad SAW ke rumah Halimah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Tanaman kembali subur menghijau, biri-biri dan unta yang kurus kering dengan hanya kulit yang melekat di tulang-tulang berubah menjadi binatang yang sihat dan gemuk berlemak. Kesemuanya ini menunjukkan kedudukan martabat RasuluLlah SAW di sisi Allah semasa Baginda masih bayi lagi. [10]

Perkampungan Bani Saad sewajarnya menerima ganjaran dan rahmat Ilahi kerana telah sanggup menerima, memelihara dan menyusu RasuluLlah. Kehijauan rumput dan tanah menyubur adalah berkat Baginda RasuluLlah yang lebih berkesan daripada hujan. Lebih jelas lagi RasuluLlah ini adalah rahmat Allah untuk manusia sejagat.

Allah sendiri telah menyebut di dalam Al Qur’an:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.[11]

RasuluLlah telah dibedah perutnya semasa bersama Bani Sa’d. Ketika itu Baginda baru berusia 5  tahun. Selepas itu dihantar kembali ke pangkuan ibunya.[12]

Peristiwa pembedahan perut RasuluLlah SAW semasa Baginda tinggal bersama Halimah Al-Sa’diyyah merupakan salah satu tanda keNabian dan tanda pemiihan Tuhan terhadapnya untuk sesuatu yang mulia. Peristiwa ini terdapat dalam Hadis Muslim

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَاهُ جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً فَقَالَ هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ ثُمَّ لَأَمَهُ ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ يَعْنِي ظِئْرَهُ فَقَالُوا إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ ـ أي متغير اللون

Yang bermaksud:

Sesungguhnya RasuluLlah SAW telah didatangi Jibril ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jibril ‘AS telah merebahkan dan membelah betul-betul dengan hati dan mengeluarkannya kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata, inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dan emas dengan air zam-zam barulah dimasukkan  semula ke tempat asalnya dan kanak-kanak yang lain berkejaran  menemu ibu susunya Halimah melaung-laung; Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muhammad dan didapati Baginda pucat lesu.[13]

Hikmat llahi di sini bukanlah membuang buli-buli kejahatan. Allah sahaja yang lebih mengetahui mengenai tubuh badan RasuluLlah, kerana kalaulah di sana terdapat buli-buli kejahatan yang merupakan sumber kejahatan maka sudah tentu boleh dirubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan.

Tetapi hikmat Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklan dan mengisytiharkan keRasulan Baginda dan menjadikannya ma’sum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dari kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana dengan jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah.

Pembedahan tadi adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dinampakkan oleh pancaindera supaya ianya menjadi canang Ilahi kepada manusia seluruhnya dengan boleh dilihat dan didengar.

Susur galur keturunan Nabi

Nasabnya adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthallib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Quraisy bin Kilab. Rasulullah SAW. memiliki silsilah yang bersambungan pada Adnan anak keturunan Nabi Ismail a.s.

Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisypula adalah kabilah ‘Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memiliki kedudukan yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab.

Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a., daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada

sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga-keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga dikalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”.[14]

Oleh kerana keturunan Baginda SAW adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui

isu keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Nabi SAW. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.

Perlu juga difahami konsep kasih kepada Rasul SAW, ialah kasih kepada kaum yang dalam kalangan mereka lahirnya Rasul SAW, juga kasih kepada qabilah yang dalam kalangan mereka diputerakan Baginda. Ini bukan kerana fanatik kepada bangsa itu, tetapi adalah kerana semata-mata hakikat, kerana pada hakikatnya bangsa ‘Arab Quraisy itu telah mendapat kemuliaan dan penghormatan di sebabkan hubungan mereka dengan Rasul SAW.


Rujukan :

[1] Dr Ramadhan Buti, Fiqh al-Sirah, m.s. 56, jld 1. Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, hlm: 35, jld 1.

[2] Dr Ramadhan Buti, Fiqh al-Sirah, m.s. 56, jld 1.

[3] Surah al-Jin ayat 9

[4] Abul Qasim As Suhayliy, Raudhatul Unuf, hlm 57, jld 1. Abd Rahman Al-Jauzi, Al-Wafa’ Bi Ta’rif Fadhail Mustafa, hlm 55 , jld 1 .

[5] Abul Qasim As Suhayliy, Raudhatul Unuf, hlm 273, jld 1. Abd Rahman Al-Jauzi, Al-Wafa’ Bi Ta’rif Fadhail Mustafa, hlm 54 , jld 1 .

[6] Qasim As Suhayliy, Raudhatul Unuf, hlm 273, jld 1.

[7] Abd Rahman Al-Jauzi, Al-Wafa’ Bi Ta’rif Fadhail Mustafa, hlm 54 , jld 1 .

[8] Sulayman As Suwaykit, Sirah Nabawiyyah ‘Inda Al-Haytsamiy, hlm 45, jld 1.

[9] Qasim As Suhayliy, Raudhatul Unuf, hlm 273, jld 1.

[10] Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, hlm: 36, jld 1.

[11] Surah Al-Anbia’ ayat 107

[12] Ibid, hlm: 33, jld 1.

[13] Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, hlm: 37, jld 1.

[14] Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih

Related posts

Leave a Comment