Konsep Azimah dan Rukhsah

Takrif Azimah

‘Azimah pada bahasa ialah bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara, kata jamaknya ialah ‘Azaim(عَزَائِمُ )  . [1].

Az-Zarkasyi menakrifkan ‘azimah dengan : Suatu ungkapan berkenaan hukum-hakam syarak yang  asal, yang telah diterima kewajipannya tanpa bantahan seperti solat lima waktu dalam perkara ibadat  dan pensyariatan jual beli dan sebagainya daripada perkara yang ditaklifkan oleh syarak.[2]

Terus mengekal untuk mengamalkan hukum asal meskipun terdapat keringanan, tetap ingin menggunakan konsep hukum asal.

Seperti yang dipaparkan Al-Quran mengenai keluarga Ammar Bin Yasir. Bapa Yasir iaitu Ammar manakala ibunya Sumayyah telah tetap mengambil hukum asal iaitu tetap pertahankan ‘aqidah mereka sehingga dibunuh tanpa mengambil keringanan/rukhsah meskipun ketika itu diharuskan mengambil rukhsah kerana melibatkan nyawa. Tetapi Yasir mengambil keringanan dengan berpura-pura murtad, namun tindakannya dipertahankan Allah melalui Al-Quran;

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya; sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (An-Nahl : 106)

Takrifan Rukhsah

Rukhsah pula adalah dari kata kerja rakhasa. Disebut arkhasa jika memudahkan dan menyenangkan. Rukhsah juga menunjukkan kepada kelembutan, tidak kasar, dan lemah-gemalai[3].

Kata ini semuanya menunjukkan kesenangan, kemudahan, kelembutan dan lemah-gemalai. Dari makna mengikut bahasa ini maka diambil rukhsah sebagai satu istilah di kalangan para pakar usul kerana ia menunjukkan kepada semua pengertian dalam agama yang cenderung kepada pemudahan dan penyenangan serta jauh daripada pemaksaan dan penegasan.

Tajuddin Al-Subki telah memberi definisi rukhsah: “Rukhsah adalah hukum syarak yang berubah kerana keuzuran kepada kesenangan serta kemudahan di samping ada sebab untuk hukum asal seperti makan bangkai untuk orang yang terpaksa[4].

Kaitan dan Perbezaan Antara Rukhsah Dengan Taysir

Salah satu teras kepada kaedah syarak ialah kaedah :

"المشقة تجلب التيسير"

Maknanya : Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Masyaqqah atau kesukaran yang akan menjadi sebab kepada keringanan dan dipermudahkan berdasarkan kaedah ini ialah masyaqqah atau kesukaran yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan boleh memudharatkan diri seseorang dan menghalangnya dari melakukan kerja amal yang berguna.

Seperti masyaqqah atau kesukaran yang berpunca dari puasa tanpa berbuka atau berterusan berjaga malam melakukan ibadat sunat tanpa rehat.

Disyaratkan juga  masyaqqah atau kesukaran itu secara umum memang sering berlaku, adapun yang jarang-jarang berlaku maka masyaqqah itu tidak diambilkira seperti wudhu’ perempuan yang istihadhah bagi setiap kali sembahyang fardhu.

Adapun masyaqqah atau kesukaran biasa yang pasti wujud dalam melaksanakan kewajiban dan kerja-kerja untuk keperluan hidup seharian yang mampu dilakukan oleh manusia tanpa mendatangkan kemudharatan maka masyaqqah ini tidak menghalang dari tanggungjawabnya (taklif ke atasnya), bahkan Syara’ tidak mengangkatnya seperti masyaqqah atau kesukaran bekerja dan mencari rezeki, berjihad menentang musuh, masyaqqah atau kesukaran dalam melakukan amal ibadat fardhu dan hukum jenayah hudud dan qisas.

Beza Rukhsah Dengan Tatabu’ Rukhas

Rukhsah adalah berbeza dengan mencari-cari rukhsah(Tatabu’ Rukhas). Tatabu’ Rukhas bermakna seseorang mencari mazhab yang paling senang dengan mempergunakan khilaf di kalangan mujtahid dengan mencampur adukkan pandangan mujtahid.

Contohnya seorang yang hendak berkahwin tetapi tidak mahu menggunakan wali dalam pernikahannya dengan alasan wali bukan syarat dalam mazhab Hanafi, kemudian tidak mahu menggunakan dua orang saksi dengan alasan saksi bukannya kewajipan dalam mazhab Maliki. Mencari-cari rukhsah(Tatabu’ Rukhas) seperti ini adalah diharamkan. Ia jelas mempermainkan agama

Dianggap juga mencari-cari rukhsah iaitu perkara-perkara yang sesetengah mereka mengira ia termasuk kesilapan para ulama seolah-olah dia mengumpulkan kesalahan-kesalahan para ulama. Inilah yang dipanggil ‘tatabu’ rukhas’ (mencari-cari rukhsah) yang dicela yang merupakan suatu kefasikan.

Namun mengambil “Rukhsah” pula bermaksud peringanan dan permudahan, khususnya apabila umat manusia berhajat kepada langkah mempermudahkan sesuatu penghalang, khususnya di zaman sekarang ini menjadi kewajipan kepada ulama mengenali sifat dan keadaan zamannya.

Zaman ini telah menipis agama, sedikit keyakinan, dan masalah-masalah dunia menjadi banyak, perkara-perkara yang mengghairahkan ke arah kejahatan menjadi banyak, dan perkara-perkara penghalang kebaikan juga menjadi banyak.

Maka ulama mestilah menjaga zaman ini dan memudahkan orang ramai semampu yang boleh selagi ia di dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak. Langkah memudahkan memang sentiasa dituntut tetapi ia lebih dituntut di zaman sekarang.

Justeru, tidak dibenarkan juga mengambil keringanan dan kemudahan untuk kepuasan hawa nafsu dan sengaja mencari keringanan di kalangan pandangan ulama yang tidak menepati hasrat ulama tersebut. Habis dikoreksi segala pandangan yang “syaz”/pelik, pandangan yang dhaif.

Contohnya dalam berpakaian sengaja diambil pandangan dhaif yang membenarkan peha lelaki dibuka, bahkan pelik seperti membahagikan aurat kepada mughallazah(berat) dan mukhaffafah(ringan). Ini bukanlah metod Fiqh Taysir tetapi ini adalah mempergunakan khilaf ulama untuk keperluan nafsu.

Padahal Qaul Dhaif para ulama ini boleh diamalkan apabila terdapatnya keperluan dan maslahah, seperti penetapan bilangan ahli mustautin yang mengesahkan solat jumaat; pandangan rajih dalam mazhab Syafie adalah 40 orang mustautin, tetapi bila ada keperluan harus diambil yang marjuh iaitu 12 orang atau 4 orang, bahkan jika ada keperluan merentas semua bilangan tersebut, teruskan sahaja solat jumaat tanpa mengira syarat mustautin lagi apabila terdapat maslahah seperti yang sedang diamalkan di Kuala Lumpur kini.[5]

Rujukan

[1] lihat Qamus Al-Muhith dan Al-Misbah Al-Munir

[2]  Lihat Bahr Al-Muhith 1/325, cetakan Kementerian Waqaf Kuwait 1988

[3] Lihat: Mukhtar Sahhah, halaman 238; Qamus al-Muhith, halaman 800; Tauqif Ala Muhimat Taarif, halaman 361.

[4] Tasynif Masami’ Bi Jam’u Jawami’, karya al-Zarkashi (1/95), cetakan 3 Muassasah Qurtubah, 1419H, 1999.

[5] lihat Azhar Yahya, Beberapa Permasalahan Solat Jumaat Di Wilayah Persekutuan, m.s 30-36, Tesis SmPI UKM, 2011.

Related posts

Leave a Comment