Daripada Maulid Nabi Sehingga Maulid Daulah

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, Selawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad SAW pembawa hidayah sekalian alam. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [1]

Saban tahun 12 Rabiul Awwal disambut meriah. Namun sambutan tersebut tidak mampu memberikan impak yang maksima dalam menegakkan Islam. Ini adalah kerana sambutan itu dilakukan tanpa penghayatan sebenarnya kepada perjuangan Rasulullah.

Kelahiran Rasulullah bukanlah kelahiran biasa yang perlu disambut dengan girang gembira sahaja tetapi kelahiran yang membawa “NUR” menyinari alam. Ia perlu dijadikan satu sambutan yang benar-benar memberikan sinar suluhan kepada kepada ummah dalam mereka menempuhi dunia yang penuh kegelapan maksiat dengan suluhan kenabian.

12 Rabiul Awwal adalah tarikh yang mempunyai 3 peristiwa pengubah dunia iaitu Kelahiran Rasulullah,[2] Kelahiran Daulah Rasulullah,[3] Kelahiran Pewaris Daulah Rasulullah[4].

Jika hanya menyambut kelahiran Nabi kemudian memusuhi Nabi samalah seperti Abu Lahab. Sunnah Abu Lahab inilah yang perlu diubah dengan memahamkan ummat ini bahawasanya tanggal 12 rabiul Awwal ini ada 2 lagi peristiwa besar yang ditakdirkan Allah berlaku iaitu bermulanya Daulah Nabi dan Wafatnya Nabi.

Baginda yang kita sambut kelahirannya itu telahpun wafat, maka hendaklah disedari bahawa kewafatan Baginda bukanlah masa untuk ditangis-tangiskan semata tetapi adalah masa untuk menyedari bahawa Baginda telah meninggalkan sesuatu warisan yang besar untuk diwarisi iaitu Perjuangan Mendaulatkan Agama Ini.

Justeru semangat para pejuang patut dikobarkan dengan suntikan semangat hijrah mendapatkan “daulah” yang juga berlaku pada 12 Rabiul Awwal. 

Nabi Muhammad SAW selaku insan pilihan sudah pasti mempunyai pelbagai petunjuk untuk diikuti. Ikutan kepada Baginda bukan sahaja setelah Baginda menjadi Rasul akan tetapi perlu dipaparkan kehidupan menyeluruh Baginda semenjak kecil kerana kehidupan Baginda adalah dijaga oleh Allah.

Segala perbuatan dan paparan kehidupan Baginda perlu diselidiki semenjak kecil untuk memperlihatkan ketepatan Allah memilih insan hebat ini dan kehidupan Baginda semenjak kelahiran sehingga perlantikan sebagai Rasul mempunyai pelbagai petunjuk terbaik buat ummatnya.

[1] Al Ahzab : 21

[2] Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum menjelaskan bahawa, tarikh kelahiran Nabi SAW iaitu 12 Rabiulawal adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi. Tarikh ini juga berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Muhammad Sulaiman al-Mansur Fauri yang merupakan tokoh sejarah. Tarikh ini diperakui oleh Mahmud Basha seorang tokoh dan sarjana dalam bidang falak. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Dar al-Fikr, Beirut, cet:1, 1991, hlm: 45).

[3] Selain dalam Dr Ramadhan Buti, Fiqh Sirah,, boleh juga merujuk pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir dan Ibnu Abbas, sesungguhnya baginda SAW telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mikraj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35)

[4] Tarikh kewafatan baginda pada 12 Rabiulawal, tahun 11 hijrah, ketika usia 63 tahun. (Lihat; Abu Hasan ‘Ali al-Husaini al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539).

Related posts

Leave a Comment