Mulakan Dengan Bismillah

dimulakan dengan Bismillah
disudahi dengan Alhamdulillah
begitulah sehari dalam hidup kita
mudah mudahan dirahmati ALLAH

Rangkapan korus nasyid dendangan kumpulan Raihan ini sememangnya telah sebati di telinga peminat setia industri nasyid tanahair dan mampu menggamit perasaan pendengar meskipun yang pertama kali mendengarnya.

Mudah-mudahan dendangan nasyid ini bukan sahaja mampu membuai perasaan dengan halwa telinga tetapi dapat menerbitkan perasaan ingin beramal dengan apa yang di dendangkan.

Seruan untuk memulakan sesuatu dengan Bismillah ini adalah seruan Kenabian. Seruan yang pernah diungkapkan oleh Insan Pilihan dengan disertai janji Baginda bahawa keberkatan akan sentiasa bersama dengan mereka yang mengamalkan rangkapan Basmalah.

Sabda Baginda:

كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَمْ يُبْدَأْ فِيهِ بِبِسْمِ اللهِ فهو أَقْطَعُ ... فهو أبتر... فَهُوَ أَجْذَمُ

Maksudnya: Setiap perkara yang hendak dilakukan tidak dimulakan dengan Bismillah maka akan hilang keberkatan.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sahihnya, begitu juga Abi Daud dengan taraf hasan, Ad Daruqutniy. An Nasaie, Ibnu Majah dan At Thabraniy. Ia mempunyai banyak versi lafaz, ada yang menggunakan kalimah abtar dan ajzam sebagai penutup, namun maksudnya sama.

Semuanya Dengan Nama Allah

Jika kita menghayati dan mengamalkan hadis ini maka semua urusan akan dilakukan dengan nama Allah dan semua urusan kita akan dilingkungi dengan kebaikan dan keberkatan.

Di dapur kita memasak dari mula memotong dengan Bismillah, mula buka dapur gas dengan Bismillah, mula memasak dengan Bismillah dan dimakan pula masakan tersebut dengan Bismillah.

Lepas makan kita bersiap ke tempat kerja, kita kuncikan pintu dengan Bismillah, kita hidupkan enjin kereta dengan Bismillah, kita mula bergerak dengan Bismillah, sampai di pejabat kita buka pintu dengan Bismillah, kita mula buka komputer dengan Bismillah.

Segalanya Bismillah, segalanya dengan Nama Allah, segalanya dengan Keberkatan dari Allah, segalanya dengan Keredhaan Allah maka layaklah kita mendapatkan segalanya dengan Kerahmatan Allah

Menerbitkan Rasa Kehambaan

Perkara paling nikmat ialah kita akan merasakan terbitnya “rasa kehambaan”, muraqabah (pemerhatian) Allah terhadap kita amat-amat terasa sebab segalanya kita mulakan dengan NamaNYA. Subhanallah alangkah nikmatnya jika kita dapat mengamalkan satu perkara yang agak kecil namun amat besar kesan dan nilai kekuatannya dalam membina manusiawi manusia.

Maka keberkatan kalimat Basmalah (nama bagi Bismillah) ini akan menjaga kita, dalam keberadaan kita di dapur, maka macam-macam kebarangkalian boleh berlaku, mudah-mudahan dengan Nama Allah yang kita sebutkan akan menghindari dari sebarang mara bahaya atau kemalangan. Begitu juga dengan kalimah Basmalah yang kita sebutkan dari mula bertolak ke tempat kerja menyebabkan kita akan amanah dengan pekerjaan dan tiada sebab untuk melakukan sebarang perkara yang salah seperti rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Melahirkan Sifat Ehsan

Maka masyarakat yang mengamalkan Bismillah ini akan mampu melahirkan sifat “ehsan” iaitu “Kita menyembah Allah seolah-olah kita melihatnya dan meskipun kita tidak mampu melihatNya nescaya Dia sentiasa melihat kita”. Individu yang bersifat “ehsan” ini akan membentuk sebuah keluarga muslim dan seterusnya masyarakat muslim dan hingga mampu membentuk negara Islam

Ayat Yang Paling Sinonim

Basmalah adalah bacaan yang paling banyak sepatutnya dibaca oleh setiap individu yang mengaku dirinya muslim. Dalam 24 jam hidupnya. Jika dia membaca Al-Quran, itulah ayat pertama yang membuka bacaan setiap surah melainkan surah At Taubah. Ketika mendirikan solat pada setiap rakaat wajib dibacakan Surah Al Fatihah dan Bismillah merupakan satu ayat daripadanya. Jika Al-Quran yang mulia itupun dibukakan Allah dengan Basmalah sebagai ayat yang pertama dalam tertib susunan apatah lagi di dalam gerakerja manusia sewajarnya diambil metodologi Qurani tersebut.

Tazkirah Ini Juga Bermula Dengan Basmalah

Maka adalah wajar tazkirah di dalam majalah ini juga dimulakan dengan memaparkan Basmalah sebagai tajuk yang relevan. Mudah-mudahan majalah ini dapat dimulakan dengan Keberkatan Basmalah yang mampu menggamit minat pembaca dan bukan sekadar minat namun lebih jauh lagi daripada itu menjadikan majalah ini sebagai sebahagian daripada sumber inspirasi perubahan ummah.

Dengan Bismillah Al-Quran dimulakan,

Dengan Bismillah ruang redaksi ini dimulakan,

Mudah-mudahan dengan Bismillah artikel ini dibaca seterusnya diamalkan

https://www.youtube.com/watch?v=gQ3dtWD5Gzc

Related posts

Leave a Comment