NARSISISME: PSIKOLOGI PEMIMPIN & AHLI

Narcissistic Personality Disorder merupakan salah satu cabang masalah mental iaitu terlalu mencintai diri sendiri dan menikmati kekaguman orang lain terhadap dirinya. Kajian menyimpulkan bahawa penyakit ini sering dihidapi oleh golongan atasan dari banyak bidang. Maka, tidak hairanlah topik ini popular di kalangan sarjana Psikologi Politik.

KARAKTER PEMIMPIN NARSISIS

Rencah politik hari ini memaparkan tindakan-tindakan dangkal orang politik yang memualkan. Karakter diktator Hitler merupakan salah satu kajian yang sangat signifikan ketika berbicara soal personaliti narsisistik. Berikut adalah ciri-ciri utama yang dipisahkan kepada dua sisi:

1. Pemusatan pada diri (Self-centred)

  • Berlagak: Pemimpin narsisistik kebiasaannya mendedahkan sikap berlagak dan sombong ketika berdepan dengan pihak yang memiliki lebih potensi berbandingnya. Mereka taksub dengan pandangan peribadi, tidak fleksibel dan mempunyai idea yang terbatas. Lebih malang lagi, mereka sedaya upaya berusaha menyekat idea-idea luar meskipun pandangan yang dilontarkan benar dan bernas.
  • Mahu sentiasa dikagumi: Mereka sentiasa mahu 'diangkat' dan diiktiraf oleh semua orang. Maka tidak hairanlah mereka sering mengeksploitasi isu-isu ummah dengan pendekatan yang populis dan retorik, fokusnya hanyalah mahu dipandang sebagai hero.
  • Tiada empati: Oleh kerana terlalu tertumpu pada diri sendiri, pemimpin nasistik tidak mampu menjiwai perasaan orang lain. Tetapi jangan pelik kalau karakter mereka tidak konsisten ibarat ‘sesumpah jadian’, boleh menukar personaliti mengikut keadaan.
  • Tidak bermoral: Mereka juga sanggup melakukan apa sahaja asalkan survival mereka tidak terancam. Malah, tidak ragu untuk bertindak sadis dan kejam bukan sahaja pada musuh mereka, bahkan pada ahli sendiri.

2. Wajah Sebenar

  • Inferior: Pada hakikatnya sifat sombong dan berlagak mereka hanyalah merupakan alat untuk pertahanan diri (defence mechanism). Tetapi jauh dari sudut hati mereka, sebenarnya sangat lemah dan terancam.
  • Hiper-sensitif: Tidak boleh diusik atau ditegur, responnya pasti hiper-sensetif dan marah secara berlebihan. Sifat mudah terancam membuatkan mereka sering bermusuhan dan menyingkirkan orang-orang yang kontradik dengan ego mereka.
  • Paranoid: Emosi yang kecamuk membuatkan mereka sering mencipta musuh-musuh baru yang sebenarnya tidak wujud. Meskipun dikelilingi oleh para penjilat, personaliti narsistik mereka melahirkan rasa cemas yang melampau.

PENULARAN PERIBADI NARSISISTIK

Peribadi narsisis yang dahulu sering dikaitkan dengan golongan pemimpin, kini menular menjadi virus pada ahli bawahan. Jika diperhatikan pemimpin dan ahli dalam sesebuah badan politik dilihat seolah-olah berkongsi sikap yang sama.

Ahli bawahan turut memilik ciri-ciri narsisistik, mereka sombong dan prejudis terhadap kumpulan lain. Berpusat kepada kelompok sendiri, merasakan entiti mereka adalah yang terbaik dan memandang lekeh kepada kumpulan lawan. Selain itu, mereka juga semakin berani melontarkan provokasi. Namun jika tembakan dibalas kembali, mereka sangat hiper-sensetif, rapuh secara emosional dan cepat melenting. Mudah sentap.

Begitu juga dengan troll yang sudah menjadi makanan harian para penggerak politik yang kosong hujah. Satu kajian mendedahkan perbuatan troll sangat berkait rapat dengan masalah kecelaruan mental (psychopath) dan sadistik iaitu perasaan puas dan gembira melihat mangsa troll merana. Semua ini disebabkan penularan sifat narsisistik yang menghakiskan rasa empati sedikit demi sedikit. Mengapa hal ini berlaku?

Fenomena keseragaaman ini berlaku kerana Vicarious Learning atau lebih dikenali sebagai Obsevational Learning iaitu proses belajar yang muncul dari observasi. Teori sosial ini berpandangan bahawa perubahan tingkah laku boleh berlaku melalui proses pengamatan panjang atau dengan kata yang lebih mudah belajar dari perilaku orang lain. Jadi, jangan tanya kenapa pengikut bertindak bodoh tanpa gagasan, lihat dulu bagaimana sikap bagaimana pemimpinnya.

Proses pengulangan tingkah laku sama ada positif dan negatif dalam kumpulan tersebut akhirnya menjadi pembudayaan yang bukan saja membentuk keseragaman pola fikir, bahkan pola tindak. Sebab itu kita dapat lihat ada sebahagian tindakan ahli politik yang bersifat dangkal dan bodoh, tetapi mereka sendiri gagal menerangkan alasannya secara akurat mengapa tindakan itu diambil. Yang jelas norma dan budaya itu telah tertanam membentuk peribadi.

SALING MEMPENGARUHI

Penjelasan di atas memberi isyarat penting bahawa kita saling mempengaruhi antara satu sama lain secara sedar atau pun tidak. Jadi kita berhak menentukan mahu dikelilingi oleh kelompok yang bagaimana, beriman atau sebaliknya.

Bertitik tolak dari faktor ini, maka tidak hairanlah Allah dan Nabi SAW menegaskan supaya sentiasa menjaga iman kerana pada hakikatnya kita bukan hanya menjaga diri sendiri, malah secara tidak langsung turut menjaga anggota sosial yang lain. Begitu juga sebaliknya, jika kita rosak, pasti akan merosakkan. Allah bawakan satu senario di dalam al-Quran tentang penghuni neraka yang diheret ke dalam neraka gara-gara pemimpinnya:

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا .رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

“Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar) Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar” (Ahzab: 67-68)

Sabda Nabi SAW:

Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [Riwayat al-Bukhari (5534) dan Muslim (2628)]

اللهم إني أعوذبك من إمارةِ الصبيان والسفهاء

Rujukan

1. The Ilustrated History of The Nazis
2. Constructing the Cyber-Troll: Psychopathy, Sadism & Empathy.
3. Narcissistic Leadership

Leave a Comment