Pengenalan Fiqh Taysir

Islam adalah agama yang mudah, syariahnya dibina di atas dasar mempermudahkan serta menghilangkan kesukaran. Didikan Islam kepada manusia pula untuk menyenangkan dan bukan membawa kesengsaraan. Dakwah Islamiahnya pula dibina atas seruan kasih sayang dan kegembiraan, bukannya menakutkan.[1]

Pengertian Fiqh Taysir

Fiqh Taysir adalah rangkuman dua kalimah iaitu “Fiqh” dan “Taysir”. Kita akan meneliti dari segi bahasa Arabnya setiap kalimah tersebut sebelum menelitinya secara gabungan dalam perbahasan dari segi istilah syaraknya.

“Fiqh” menurut bahasa Arab bermaksud al-fahmu – memahami, sama ada memahami dengan mendalam atau tidak.[2]

Al-Quran menggunakan kalimah “Fiqh” dengan membawa makna “memahami”;

فَمَالِ هَٰٓؤُلَآءِ ٱلْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

“Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? Surah An-Nisa’ ayat 78

“Fiqh” menurut istilah fiqh pula ialah “ Suatu ilmu berkaitan hukum-hakam syara’ yang bersifat amali(praktikal) yang diambil dari dalil-dalil yang tafsili(spesifik)”[3]

“Taysir” secara kalimahnya bermaksud “Mudah” maknanya senang, berlapang dada serta keluasan. Lawannya adalah “Ta’sir” maknanya “kesusahan”. Sesuatu yang “susah” maknanya rumit, sempit dan sulit.

Al-Quran menggunakan kalimah pecahan dari “taysir” dengan membawa makna “mudah” dan “lapang”;

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah Al-Qamar ayat 17)

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya)  (Surah Al-Baqarah ayat 280)

Makna Tayseer dari sudut fiqhnya adalah sama dengan sudut bahasa.[4]

Gabungan dua kalimat “Fiqh al-Taysir” pula bermaksud “mengambil hukum yang ringan atau mudah dari pandangan para fuqaha’ dalam perkara-perkara yang berlaku ilktilaf antara mereka”.[5]

Terdapat definisi lain Fiqh Taysir iaitu : Pensyariatan hukum-hukum yang mengambil kira keperluan dan keupayaan mukallaf dalam mematuhi perintah dan larangan tanpa menjejaskan prinsip-prinsip asas pensyariatan hukum tersebut.[6]

Dr Usamah yang mengkaji Fiqh Taysir sebagai tesis kedoktorannya telah membuat kesimpulan bahawa Fiqh Taysir dari sudut istilah syara’nya ialah ;

Menjadikan sesuatu arahan syara’ itu perkara yang boleh dilaksanakan tanpa sebarang kesukaran dan kepayahan[7]

Rujukan

[1] Dr. Usamah Mahmud Qana’ah, Fiqh At-Tayseer Fi Al-Syari’ah Islamiyyah, Darul Mustaffa, 2009, Damsyik, m.s. 34

[2] Al-Qamus Al-Muhith, 4/291

[3] Al-Ibhaj Lis Sabkiy, 1/15, Cetakan Taufiq Adabiyyah, Mesir

[4] Mausu’ah Fiqhiyyah, 14/211, Kementerian Waqaf Kuwait , Cetakan 1988.

[5] Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Hj Azahari, Fiqh Taisir Dalam Ibadat Haji, m.s. 4, Kertas Kerja 1, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 31, 1436H, Alor Setar. Lihat juga dalam Abdullah Hamad As-Sakakir, Fiqh At-Taysir Fi Al-Hajj dicapai dari pautan http//www.islamtoday.net/nawafeth/art show-86-8440.htm.

[6] Kamal Jawdah Abu Al-Mu’aati(2007) Mazahir At-Taysir Fi Al-Syariah Al-Islamiyyah, Kaherah, Darul Faruq. Lihat dalam Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Hj Azahari, Fiqh Taisir Dalam Ibadat Haji, m.s. 4, Kertas Kerja 1, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 31, 1436H, Alor Setar.

[7] Dr. Usamah Mahmud Qana’ah, Fiqh At-Tayseer Fi Al-Syari’ah Islamiyyah, Darul Mustaffa, 2009, Damsyik, m.s. 32

Siri Pengenalan Fiqh Taysir

Related posts

Leave a Comment