PENTINGNYA PENDIDIKAN KEHIDUPAN SETIAP GENERASI

Musim Cuti Sekolah

Menghampiri musim cuti persekolahan, ia merupakan fasa yang penting dalam proses pendidikan anak-anak. Apabila cuti tidak dihabiskan atau disusun dengan pelbagai aktiviti yang mendidik, maka ia akan dibazirkan dengan perkara yang tidak memberi kesan terhadap daya fikir mereka mahupun perilaku. Aktiviti mendidik tidak semestinya pergi program seminar akademik, kem motivasi, kem ibadah atau latih tubi yang menjurus pada akademik sahaja, bahkan mestilah meliputi aktiviti fizikal yang mencerna minda dan juga emosi mereka. Yang terlebih utama dalam pendidikan adalah didikan kehidupan.

Satu perkara yang mesti dielakkan, iaitu :
“Anak-anak yang terlalu dilatih menjawab soalan ujian peperiksaan berbanding dilatih menjawab soalan-soalan kehidupan, memunculkan generasi yang pandai hanya atas kertas berbanding pandai menduga arus kehidupan.”

Sekiranya kita tidak mahu generasi demi generasi dibentuk sedemikian rupa, maka sang ayah perlulah menjadi memainkan peranannya yang sebenar.

Didikan Nabi Ibrahim A.S

Antara yang paling banyak menyumbang kepada perkembangan minda dan emosi anak-anak adalah ayah. Interaksi sejak dari kecil si anak dengan si ayah merupakan fasa yang menjadi penentu waktu dewasa nanti. Kita lihat bagaimana Al Quran mengajar kita didikan Nabi Ibrahim as kepada anaknya.

Firman Allah ta’ala:

وَإِذۡ یَرۡفَعُ إِبۡرَ ٰ⁠هِـۧمُ ٱلۡقَوَاعِدَ مِنَ ٱلۡبَیۡتِ وَإِسۡمَـٰعِیلُ رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Al-Baqarah : 127)

Dalam ayat di atas, secara tersirat mengandungi didikan kehidupan sang ayah Nabi Ibrahim a.s, terhadap anaknya Nabi Ismail a.s. Ketika pembinaan Kaabah, Nabi Ibrahim mendirikan tapaknya, lalu dibantu oleh Nabi Ismail yang ketika itu belum lagi mencapai umur baligh.

Suri tauladan kepada anak

Menurut dapatan berdasarkan kajian oleh Father Involvement Research Alliance, bagi seorang anak lelaki, mereka dapat belajar pelbagai kemahiran daripada ayahnya melalui aktiviti bersama. Malah, mereka dapat mencontohi cara gentleman yang ditunjukkan oleh si Ayah yang prihatin semasa melayani Ibu. Dari sinilah mereka akan faham bahawa sifat kelelakian bukanlah ditunjukkan sekadar dengan kekuatan fizikal semata-mata.

Sebagai ketua keluarga juga, anak lelaki banyak dipengaruhi oleh asuhan ayah dalam menekankan keadilan, ketegasan, dan tanggungjawab, tetapi dalam keadaan penuh kasih sayang. Maka, semua kualiti ini tentunya akan menjadi role model kepada anak apabila semakin meningkat usia kelak.

Kewajipan terpenting

Seorang ayah punya kewajipan terpenting sebagaimana yang digariskan oleh Allah iaitu menjauhkan dirinya dan ahli keluarga dari api neraka. Firman Allah taala :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim : 6)

Sang ayah punya tugasan membentuk sifat kemanusiaan anak-anak untuk mereka meneruskan kehidupan di dunia, seterusnya membentuk sifat kehambaan supaya kehidupan mereka di dunia punya matlamat yang jelas untuk kehidupan kekinian, juga kedisinian seterusnya disana nanti.

Ini sekadar coretan setakat kemampuan diri sendiri, walaupun bermacam teori boleh diketengahkan, yang terlebih penting adalah yang membekas dalam diri. Moga berguna.

Terima kasih buat ibu bapaku yang begitu banyak mendidik kami adik beradik dengan ilmu kehidupan.

Rujukan

Al-Quran

Related posts

Leave a Comment