PERINGANAN DENGAN PENGGUGURAN ( تخفيف اِسقاط )

Pertama : Peringanan Dengan Pengguguran ( تخفيف اِسقاط )

Peringanan yang membawa kepada pengguguran sesuatu syariat sebagai taysir kepada hamba yag mukallaf. Seperti pengguguran ibadah-ibadah, atau hukuman-hukuman ketika wujud keuzuran-keuzurannya, di antaranya sebagai contoh :

Pengguguran tuntutan untuk keluar solat berjamaah dengan sebab sakit, sangat sejuk, angin yang kuat dan hujan lebat.

Hadis daripada Ibnu Umar r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ أَلَا صَلُّوا فِي الرِّحَالِ فِي اللَّيْلَةِ الْبَارِدَةِ أَوْ الْمَطِيرَةِ فِي السَّفَرِ

Bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan seorang muazzin untuk mengumandangkan azan, kemudian berseru setelah selesai azan: hendaklah kalian solat di tempat tinggal kalian pada malam yang dingin, atau saat turun hujan dalam perjalanan. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, kitab: azan, bab: Azan dan iqamah bagi musafir bila solat berjamaah, no.596

Pengguguran kewajipan Jumaat kerana keuzuran-keuzuran yang diberikan syarak termasuk keuzuran yang disebut dalam contoh pertama iaitu solat berjamaah dan lain-lain keuzuran.

Sabda Nabi saw:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ قَالَ لِمُؤَذِّنِهِ فِي يَوْمٍ مَطِيرٍ إِذَا قُلْتَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَلَا تَقُلْ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ قُلْ صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ قَالَ فَكَأَنَّ النَّاسَ اسْتَنْكَرُوا ذَاكَ فَقَالَ أَتَعْجَبُونَ مِنْ ذَا قَدْ فَعَلَ ذَا مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي إِنَّ الْجُمُعَةَ عَزْمَةٌ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُخْرِجَكُمْ فَتَمْشُوا فِي الطِّينِ وَالدَّحْضِ

Daripada Abdullah bin Abbas dia berkata kepada muazzinnya ketika turun hujan, jika engkau telah mengucapkan: Asyhadu an laa ilaaha illallaah, asyhadu anna Muhammadan Rasulullah, maka janganlah kamu mengucapkan: Hayya alas solaah, namun ucapkan solluu fii buyuutikum (Solatlah kalian di rumah/persinggahan kalian). Abdullah bin Abbas berkata: Ternyata seolah-olah orang ramai tidak bersetuju dengan hal ini, lalu dia berkata: ‘Apakah kalian merasa pelik terhadap ini semua? Padahal yang demikian pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik dariku. Solat Jumaat memang wajib, namun aku tidak suka jika mesti membuat kalian keluar sehingga kalian berjalan di lumpur dan curaman. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, kitab: Jumaat, bab: Keringanan untuk tidak hadir solat Jumaat ketika turun hujan, no.850.

Pengguguran syarat mengadap kiblat dan pergerakan solat yang khusus dinisbahkan untuk solat Khauf/Keadaan Ketakutan[1]

Keadaan orang yang takut dalam situasi peperangan, pertempuran atau sebab-sebab lain; maka hendaklah dia mendirikan solat mengikut cara yang sesuai dengan keadaannya. Paling khusus ialah orang yang takut lebih berhajat berbanding yang lain kerana dia memerlukan pertolongan, menuntut bantuan, bagus tawakalnya kepada Allah, berdoa agar dibebaskan dan memperolehi kemenangan, kesejahteraan dan keselamatan.

Allah S.W.T berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. Surah al-Baqarah ayat 153

Allah S.W.T juga memerintahkan golongan mujahidin mengingati Allah S.W.T semasa di dalam pertempuran dengan mengharapkan kemenangan,

Allah S.W.T berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَٱثْبُتُوا۟ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Surah al-Anfal ayat 45

Pengguguran kewajipan haji dinisbahkan kepada orang yang tidak mampu

Firman Allah:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.  Surah Aali Imran ayat 97.

Apa yang dimaksudkan dengan kemampuan di dalam ayat ini ialah :

  • Keupayaan sampai ke Makkah tanpa kesusahan besar
  • Kemampuan menunaikan solat dan ibadah lainnya tanpa pelanggaran sesuatu dari fardu-fardunya
  • Keamanan kepada diri dan harta disepanjang perjalanan dari penjenayah [2]

Para Mujtahid seperti Imam Syafie, Abu Hanifah dan Ahmad berkata: ‘Termasuk dalam syarat kemampuan itu ialah bekalan perjalanan dan unta tunggangan, maka tidak wajib haji kepada orang yang tidak mempunyai bekalan perjalanan serta kemampuan kos menginap, dan tidak wajib kepada orang yang tidak mempunyai perbelanjaan pengangkutan[3].

Pengguguran umrah, apabila telah gugur haji dari mukallaf demi kerana tiada kemampuan maka pengguguran umrah kerana sebab yang sama adalah lebih utama kerana ia sama ada setara dengannya atau lebih rendah darinya dalam hukum[4].
Pengguguran jihad daripada orang yang mempunyai keuzuran. Oleh kerana jihad adalah satu usaha iaitu keupayaan serta kemampuan menanggung penderitaan dalam peperangan, atau perihal bersungguh-sungguh dalam kerja peperangan, dan ini tidak berlaku melainkan dari orang yang memiliki keupayaan, maka ia tidak difardukan kepada orang buta, tempang, orang yang hilang keupayaan, orang tua yang lanjut usia, orang sakit, orang yang lemah, kanak-kanak dan orang yang tidak mempunyai sesuatu untuk dibelanjakan[5].

Firman Allah :

لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا

Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Fath ayat 17)

لَّيْسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا۟ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ مَا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah at-Taubah ayat 91)

Ayat-ayat ini menunjukkan pengguguran kewajipan jihad yang suci ini daripada orang-orang yang tidak berkemampuan.

Pengguguran kewajipan mengqadha atau mengganti puasa daripada orang yang berbuka puasa kerana terlupa di siang Ramadan menurut jumhur para imam.

Berdasarkan hadis:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum”. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab: Shaum, bab: Orang yang berpuasa makan dan minum kerana lupa, no.1797.

Pengguguran kaffarah dengan kesempitan menurut pandangan Imam Syafie

Demikian adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَمَا ذَاكَ قَالَ وَاقَعْتُ أَهْلِي فِي رَمَضَانَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَجِدُ رَقَبَةً قَالَ لَا قَالَ أَتَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا تُطْعِمُ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا أَجِدُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرْقٍ وَالْعَرْقُ الْمِكْتَلُ فِيهِ تَمْرٌ قَالَ اذْهَبْ فَتَصَدَّقْ بِهَا فَقَالَ عَلَى أَفْقَرَ مِنِّي وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ اذْهَبْ بِهِ إِلَى أَهْلِكَ

Bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi SAW sambil berkata: Telah celaka diriku wahai Rasulullah. Baginda bertanya: “Apa yang menjadikan engkau celaka?”. Dia berkata: Aku telah menyetubuhi isteriku pada siang hari di bulan Ramadhan. Maka Nabi SAW bersabda: “Apakah engkau mempunyai hamba?”. Dia berkata: tidak. Baginda bersabda: “Mampukah jika engkau mesti berpuasa dua bulan berturut-turut?”. Dia berkata: tidak mampu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Bagaimana jika memberi makan enam puluh orang miskin?”. Dia berkata: Aku tidak memiliki makanan untuk itu wahai Rasulullah. Abu Hurairah berkata: lalu dihadapkanlah kepada baginda setangkai kurma yang berketul. Baginda bersabda: “Pergi dan sedekahkan kurma ini”. Lalu dia berkata: Kepada orang yang paling miskin dariku?! Demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, di antara dua lembah ini tidak ada orang yang lebih memerlukan kecuali aku. Lalu ketawalah Rasulullah SAW sambil bersabda: “Bawalah kurma ini untuk keluargamu”. Diriwayatkan oleh al-Bukhari, kitab: Hibah, no.2410

Rangkapan ayat terakhir hadis ini merupakan tempat istidlal/pengambilan dalil, kerana kaffarah tidak boleh dibelanjakan pada diri sendiri serta yang berkait khas dengan dirinya, maka perintah Nabi agar memberi makan keluarga adalah dalil kepada pengguguran kaffarah daripadanya[6].

Rujukan

[1] Al-Risalah, karya Imam Syafie, m/s 122,177.

[2] Manasik Hajj wa Umrah, Rahmuni, m/s 36-37.
[3] Bidayah Mujtahid, karya Ibnu Rushd 1/254, Mausu’ah Fiqh Islami 7/101.

[4] Qawaied Ahkam 2/8, Manasik Hajj wa Umrah, m/s 141.

[5] Mausu’ah Fiqh Islami, 7/133.

[6] Nail al-Autar, karya Syaukani, 4/216, Multaqa, karya al-Baji 2/55.

Leave a Comment