Kedua: Peringanan Dengan Pengurangan ( تخفيف تنقيص )

Peringanan yang membawa kepada pengurangan syariat sebagai taysir dalam pelaksanaan syariat. Pelaksanaan sesuatu tanggungjawab syariat diringankan dengan cara dikurangkan syariat tersebut, seperti Qasar solat iaitu mengurangkan bilangan rakaat solat dari empat rakaat kepada dua rakaat sahaja. Solat tetap didirikan, cuma diringankan dengan pengurangan.

Kita boleh lihat pengurangan yang jelas dalam bentuk ini pada contoh-contoh berikut:

1) Menqasarkan solat empat rakaat kepada dua rakaat dalam musafir [1]

Al-Imam Al-Syafie R.H. berpendapat bahawa solat qasar bukanlah kewajipan berbentuk ain (fardu ain) tetapi ia hanyalah satu rukhsah (kelonggaran dan keringanan) yang diberikan oleh Allah S.W.T. dalam menunaikan ibadah solat.

Orang yang bermusafir diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat secara ’azimah (iaitu beramal dengan hukum asal dengan solat empat rakaat tanpa mengqasarkannya) ataupun mengamalkan rukhsah (qasar iaitu solat dua rakaat).

Pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipegang oleh Usman bin Affan R.A., Sa’ad bin Abi Waqqas, Aishah R.A., Malik, Ahmad dan Abu Thaur. Pendapat ini adalah pendapat kebanyakan para ulama. [2]

Dalil daripada Al-Quran yang menunjukkan keharusan solat qasar ialah firman Allah S.W.T:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: ”Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasar solat(mu)..” Surah An Nisa’ ayat 101

Menurut Al-Imam Al-Syafi’i, ungkapan ”laisa ’alaikum junah” di dalam ayat di atas tidak memberi maksud lain kecuali dengan maksud ”diharuskan” atau pada perkara yang diharuskan.

Maka hukum solat qasar pada asalnya adalah HARUS dan DIBERI PILIHAN (sama ada tamam atau qasar). Selain itu, kalimah ”sedekah” yang disebut di dalam hadis solat qasar itu dianggap ”sedekah atau pemberian Allah” juga menunjukkan solat qasar itu suatu keharusan dan keringanan.[3]

Manakala dalil dari Al-Sunnah yang menunjukkan keharusan solat qasar ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ya’la Bin Umayyah, di mana beliau telah bertanyakan Umar Al-Khattab R.A. berkenaan ayat 101 Surah An-Nisa’ yang menyatakan tiada kesalahan mengqasarkan solat ketika keadaan takut, di mana beliau (Ya’la) bertanyakan Saidina Umar,”bukankah sekarang kita telah merasa aman dari ketakutan itu?”.

Lalu Saidina Umar R.A. merasa hairan tentang persoalan yang ditanyakan itu di mana kehairanan tersebut juga dirasai oleh Saidina Umar, menyebabkan beliau bertanya kepada Rasulullah S.A.W akan hal itu, lalu Rasulullah S.A.W menjawab dengan bersabda:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ ِبهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوْا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: ”Ianya (solat qasar) adalah suatu pemberian daripada Allah kepada kamu maka terimalah pemberianNya” Hadis Riwayat Muslim, no. 686.

Nota:

Ada sesetengah orang mengatakan bahawa pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu, solat qasar diharuskan kerana kepayahan dan kesukaran dalam perjalanan menaiki unta dan berjalan kaki ketika musafir. Hari ini kepayahan tersebut telah hilang, maka tiada lagi keharusan qasar kerana zaman sekarang sudah berubah di mana kita bermusafir dalam keadaan rehat seperti bermusafir menggunakan kereta, menaiki kapal terbang dan di sepanjang lebuhraya juga terdapat tempat rehat yang memberi ruang kepada para musafir untuk berhenti berehat dan menghilangkan penat.

Tanggapan sebegini adalah salah kerana solat qasar disyariatkan atas sebab (keuzuran), iaitu wujudnya safar (permusafiran) itu sendiri, walaupun sebab asalnya iaitu ketakutan telah hilang, tidak kira sama ada musafir tersebut sukar atau selesa. Ayat Al-Quran juga mengaitkan solat qasar dengan ungkapan ”apabila kamu bermusafir di muka bumi”.[4]

Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dlm kitabnya Fiqh Al-Siyam menyebut bahawa bermusafir dengan kemudahan atau pengangkutan yang ada pada hari ini tidak menggugurkan rukhsah menjamak dan mengqasar solat yang diberi kepada musafir walaupun orang yang bermusafir merasa selesa dan badan berada dalam keadaan rehat semasa berada dalam tempoh musafir. Sesetengah mereka yang suka berfalsafah dan jauh dari kefahaman tentang fiqh menyangka bahawa musafir sekarang bukan seperti dulu, bukan lagi berjalan kaki dan menunggang unta, tidak menuruni lurah dan merentas padang pasir yang luas (dipenuhi dengan kepayahan), maka tidak dibolehkan qasar bagi musafir dalam  keadaan rehat seperti ini (sangkaan sebegini adalah silap). Ini kerana nas telah mengikat keharusan qasar dengan  wujudnya safar(pemusafiran) tanpa menyebut masyaqqah(kesukaran) yang dihadapi semasa safar.5]  

Keharusan menqasarkan solat ketika musafir ini tidak berubah dari dahulu hingga sekarang (kerana keuzuran semasa safar tetap wujud) walaupun berlaku perubahan ke atas cara dan kemudahan bermusafir pada hari ini (faktor kepayahan dan kesukaran ketika musafir telah hilang).[6]

Hukum mengqasar solat ketika musafir pada asalnya atau umumnya adalah harus dan merupakan suatu keringanan tetapi lebih afdhal, mengqasar solat. 

  • Menurut pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie, pendapat Imam Ahmad dan Khulafa’ Ar-Rasyidin; mengqasar solat adalah lebih afdhal dari solat sempurna. Ini kerana Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin selepas baginda, sentiasa melakukan solat secara qasar dalam setiap permusafiran mereka.
  • Imam Nawawi di dalam Syarah Soheh Muslim mengatakan:

Para ulama berselisih pendapat berkenaan hukum mengqasar solat semasa musafir. Imam Al-Syafie, Imam Malik dan kebanyakan para ulama menyatakan, adalah harus sama ada mengqasar solat atau solat secara sempurna (kedua-dua jenis solat harus dilakukan) ketika dalam musafir tetapi pendapat yang sahih dan masyhur ialah mengqasar solat adalah lebih afdhal.[7]

Selain itu, solat qasar juga adalah pemberian Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis yang lepas. Jika pemberian manusia yang dimuliakan seperti raja-raja kita amat menghargainya maka amat wajarlah bagi kita untuk mengambil dan menerima pemberian sekiranya pemberian tersebut datangnya daripada Allah S.W.T.

2) Peringanan dengan mengurangkan perbuatan-perbuatan solat yang sukar atau lemah untuk dilakukan oleh pesakit

seperti pengurangan rukuk, sujud dan lain-lain kepada kadar yang mudah dilakukan, orang yang tidak mampu sujud selengkapnya kerana kesempitan atau takut atau sakit hendaklah melakukan apa yang termampu dan gugurlah bakinya sebagai pengguguran pengurangan[8].

Firman Allah SWT dalam surah Aali Imran ayat 191:

ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ

Maksudnya : Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.

Sabda Rasulullah SAW :

"صَلَّ عَلىَ اْلأَرْضِ إِنِ اسْتَطَعْتَ وَ إِلاَّ فَأَوْمِيْءَ اِيْمَاءً وَاجْعَلْ سُجُوْدَكَ أَخْفَضْ مِنْ رُكُوْعِكَ "

Maksudnya : Solatlah di atas muka bumi ini mengikut kemampuan kamu, sekiranya tidak mampu memadailah dengan isyarat iaitu menjadikan sujud kamu lebih sedikit daripada rukuk kamu. Hadis riwayat Al-Bayhaqi 2/54

Sabda Rasulullah SAW :

"صَلَّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلىَ جَنْبِكَ "

Maksudnya : Solatlah secara berdiri sekiranya tidak mampu secara duduk sekiranya tidak mampu buatlah secara berbaring. Diriwayatkan oleh semua perawi melainkan Muslim.

Sabda Rasulullah SAW :

يُصَلِّىَّ اْلمَريْضُ قَائِمًا ِإنِ اسْتَطَاعَ فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ صَلىِّ قَاعِدًا فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يَسْجُدَ أَوْمَا ِبرَأْسِهِ وَجَعَلَ سُجُوْدَهُ أَخْفَضْ مِنْ رُكُوْعِهِ فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّىَّ قَاعِدًا صَلىِّ عَلىَ جُنُبِهِ اْلأَيْمَنِ مُسْتَقْبَلاً اَلْقِبْلَةُ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّىَّ عَلىَ جَنْبِهِ اْلأَيْمَنِ صَلىِّ مُسْتَلْقِيًا ِرجْلاَهُ يَلِيَ اْلقِبْلَةَ "(رواه الدارقطني والبيهقي)

Maksudnya : Seseorang yang sakit hendaklah solat secara berdiri sekiranya mampu, sekiranya tidak mampu solatlah secara duduk, sekiranya tidak mampu lakukanlah secara isyarat dengan kepala iaitu dengan menjadikan keadaan sujud lebih sedikit daripada keadaan rukuk, sekiranya tidak mampu solat secara duduk, solatlah secara berbaring dengan menjadikan lambung kanan mengadap kiblat, sekiranya tidak mampu solat di atas lambung kanan solatlah dengan kakinya ke arah kiblat. Hadis riwayat Al-Bayhaqi 2/66, Ad-Dar Al-Qutniy 4/420

3) Kewajiban membayar kaffarah samada yang berturut-turut sebagaimana keadaan pada kaffarah sumpah, puasa, haji dan zihar

Kewajiban membayar kaffarah samada yang berturut-turut sebagaimana keadaan pada kaffarah sumpah, puasa, haji dan zihar, atau memadai mukallaf mengeluarkan satu sahaja kaffarah daripada senarai pilihan kaffarah yang ada. kerana pada kaffarah  itu terdapat proses penggantian tempat bagi orang itu, dan pengguguran untuk keseluruhan kaffarah-kaffarah tersebut[9].

4) Berlakunya beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang diwajibkan bersuci, meskipun beberapa kali keadaan tersebut berlaku diberikan peringanan dengan hanya satu mandi wajib telah memadai.

Contohnya seseorang menyetubuhi isterinya dan terus tidur lalu bermimpi maka satu kali mandi sahaja memadai untuk mengangkat kedua-dua hadas itu keseluruhannya.

5) Berlakunya beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang diwajibkan bersuci, meskipun beberapa kali keadaan tersebut berlaku diberikan peringanan dengan hanya satu mandi wajib telah memadai.

Contohnya seseorang menyetubuhi isterinya dan terus tidur lalu bermimpi maka satu kali mandi sahaja memadai untuk mengangkat kedua-dua hadas itu keseluruhannya.

Rujukan

[1] Nail al-Autar, 3/200.

[2] Masail Fil Fiqh Al-Muqaran, hal 81/Risalah Fil Jam’i wal Qasr, hal  31.

[3] Risalah fil Qasr wal Jam’, hal 31

[4] Risalah fil Qasr wal Jam’, hal 28

[5] Fiqh Al-Siyam, hal 44.

[6] Al-Rukhas al-Syar’iyyah, hal 41

[7] Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 2, hal 1340 / Syarah Soheh Muslim oleh Nawawi, jil 3, hadis no 685

[8] Qawaied Ahkam 2/8, Mausu’ah Fiqh Islami 7/100.

[9] Qawaied Fiqhiyyah, Ibnu Rajab hal. 26.