Rasulullah SAW Meniti Zaman Kepemudaan

Penglibatan Di Dalam Hilful Fudhul.

Hilful Fudhul ialah sebuah perjanjian yang dimeterai oleh penduduk Mekah termasuklah Nabi Muhammad untuk mewujudkan urus niaga yang adil. Disebabkan peranan Nabi Muhammad dalam pembentukannya, perjanjian tersebut memainkan peranan yang penting dalam etika Islam.[1]

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah bukanlah seorang pemuda yang pasif tetapi amat mengambil berat mengenai apa yang berlaku di dalam masyarakatnya dan berjuang bersama-sama mereka yang ingin menegakkan keadilan melalui perjanjian Hilful Fudhul.

Etika keadilan ini di teruskan di era Islam dan sekaligus menunjukkan apa yang dibuat oleh masyarakat jahiliyyah tidak semestinya dibuang.

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعمولو ادعى به في الإسلام لأجبت

“Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad’an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya .”[2]

Tawaran Sebagai CEO Bukti Kehebatan PR Nabi

Dalam urusan sara hidup, seseorang pendakwah perlu bergantung kepada usaha peribadinya dan sumber pencarian yang mulia. Dia tidak mengemis, merendah harga diri atau hina. Pendakwah yang benar dan mulia tidak rela hidup dengan hasil sedekah dan pemberian orang.

Adakah mereka masih lagi mempunyai harga diri setelah mereka sendiri bertindak menjatuhkan maruah diri dengan sibuk meminta dan mengemis. Sesetengah agama menyaksikan para pendakwah dan orang agama mengemis untuk meneruskan kehidupan dan lebih teruk lagi di dalam ajaran sesat yang banyak mempergunakan kedudukan sebagai syeikh, ketua dan sebagainya untuk mengaut kekayaan ahli dan pengikut.

Rasullulah menunjukkan kepada kita bahawa Baginda merupakan seorang peniaga yang berjaya disamping latar belakang seorang penggembala kambing semenjak kecil dan tidak menyaksikan sikap bergoyang kaki tanpa sebarang pekerjaan. Kehebatan pengendalian perniagaan Rasulullah dengan sikap amanah inilah yang menyebabkan keuntungan berlipat ganda yang diperolehi rombongan perdagangan yang dikendalikan Baginda.

Khadijah RA seorang saudagar yang masyhur serta terkenal dengan kemuliaan budi dan kekayaan harta. Sebilangan besar dari orang ‘Arab di masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.

Apabila Khadijah mendengar berita perihal peribadi Nabi Muhammad yang mulia dan akhlaq yang terpuji itu ia terus mempelawakan kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi keuntungan yang lebih dari yang pernah diberikannya kepada orang lain.

Tawaran itu telah diterima baik oleh Muhammad SAW dengan penuh kerelaan hati. Untuk mengiringi Baginda dalam usaha perniagaan nanti Baginda akan dibantu oleh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama “Maisarah”.

Baginda terus belayar ke negeri Syam untuk menjalankan urusan peniagaan bersama “Maisarah” budak suruhan Khadijah. Dalam perniagaan ini Baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda.

Semasa di negeri Syam “Maisarah” telah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawan dengan budi pekerti Baginda yang mulia dan segala-galanya ini terus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawan dengan keamanahan dan budi pekertinya yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah kelabaan yang berlebihan yang diperolehinya dengan berkat Baginda. [3]

Perkahwinan dengan Khadijah

Ternyata sifat amanah Baginda menghasilkan laba dan keuntungan menakjubkan Khadijah, Maisarah menceritakan rahsia kehebatan Rasulullah SAW mengendalikan perniagaan.

Tutur kata baik serta menjalankan perniagaan tanpa penipuan adalah resipi kejayaan Baginda. Amat menarik, sifat amanah dan bertanggungjawab Nabi Muhammad membuatkan Saidatina Khadijah terpikat kepadanya.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh Muhammad SAW dan dengan tidak membuang masa, Baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya ‘Amru bin Asad.

Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Di kala itu RasuluLlah berusia genap dua puluh lima tahun sedang Khadijah telah berusia empat puluh tahun.[4]

Perkahwinan dengan Khadijah membayangkan kepada kita yang Rasulullah tidak memberatkan soal-soal kepuasan hawa nafsu dan sebagainya sebagaimana yang ditohmah. Kalau tidak sudah pasti Baginda telah memiih wanita-wanita yang lebih muda daripadanya. Di sini nyatalah kepada kita di mana perkahwinannya semata-mata kerana kejujuran dan kemuliaan budi Khadijãh sehingga ianya digelar di masa jahiliyyah dengan “Wanita Suci”.

Perkahwinan ini telah hidup dan membunga sehingga wafatnya Khadijah dalam usia enam puluh lima tahun sedang Rasulullah SAW berusia lima puluh tahun dan tidak terlintas di hati sanubari Baginda untuk berkahwin dengan perempuan yang lain sedangkan manusia biasanya dalam usia antara dua puluh hingga lima puluh merupakan musim yang masih “bergelora” dan tidak pula menyalahi adat resam di masa itu yang mana orang-orang ‘Arab di masa itu berkahwin lebih dan satu atau mencari hamba abdi sebagai gundik simpanan.

Bila kita memperkatakan soal ini barulah dapat kita menyumbat mulut-mulut pihak yang mengeluarkan racun-racun yang mengancam kesucian Islam yang selalu mencanangkan berita-berita palsu yang tidak berasas. Mereka ini menyangka bila memperkatakan tentang perkahwinan Nabi Muhammad SAW dapatlah mereka menggambarkan kepada umum yang Muhammad itu manusia yang tenggelam ke dasar lautan hawa nafsu.

Rujukan :

[1] Sirah Ibnu Hisyam dan turut diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad

[2] Muhammad Al-Khudory, Nurul Yaqeen Fi Seerah Sayyid Al Mursalin, hlm 11, jld 1.

[3] Muhammad Al-Khudory, Nurul Yaqeen Fi Seerah Sayyid Al Mursalin, hlm 13, jld 1.

[4] Ibid, hlm 26-27

Related posts

Leave a Comment