Rasulullah SAW Semasa Remaja

Pengalaman Pertama Berdagang

Dalam usia dua belas tahun bapa saudara Baginda Abu Talib membawa bersama-samanya ke Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan “Basra”, mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama “Buhaira”, seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani (Kristian).

Memerhati Nabi Muhammad SAW kemudian bertanya kepada Abi Talib,

Katanya : “Budak ini anak tuan hambakah?

Lantas dijawab oleh Abi Talib; Kenapa tidak! Ya, budak ini anakku.

Oleh kerana Abu Talib terlalu kasih dan sayang kepada RasuluLlah sejak dahulu lagi maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya.

Kemudian Buhaira menegaskan; “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.”

Abu Talib menjawab; “Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika ia masih dalam perut ibunya”.

Paderi tadi menambah; “Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang-orang Yahudi mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung.” Maka Abu Talib pun segeralah pulang ke Mekah bersama RasuluLlah SAW.[1]

Selepas itu Rasulullah SAW mula memasuki gerbang kedewasaan dan keremajaan. Baginda mula bertungkus-lumus dan menyingsing lengan mencari rezeki halal dengan menternak kambing.

Tidak Berfoya-foya

Selain melakukan tugas sebagai penggembala kambing, Rasulullah juga seperti remaja-remaja yang lain seperti teruja dengan keseronokan. Namun Baginda SAW  tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut.

Kitab-kitab sirah menceritakan dengan panjang lebar, semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan.

Baginda teringin menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur.

Baginda hanya terjaga setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi. Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.

Gelaran Al-Amin dan Pengiktirafan Penduduk Makkah

Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini.

Kaabah telah dilanda banjir menyebabkan dindingnya retak. Oleh itu, penduduk Makkah membuat keputusan meruntuhkannya dan memperbaharui binaannya.

Namun, apabila pembinaan sampai ke peringkat meletak Hajarul Aswad ke tempat asalnya, mereka bertengkar tentang siapakah yang akan mendapat penghormatan untuk meletak Hajarul Aswad ke tempatnya.

Setiap kabilah ingin mendapat penghormatan itu. Pertelingkahan bertambah hebat sehingga mereka saling mengancam untuk berperang. Kemudiannya mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu masuk Bani Syaibah sebagai hakim.

Sejurus kemudian, orang pertama yang memasuki masjid melalui pintu itu ialah Rasulullah SAW. Apabila mereka melihat Baginda, mereka berkata: Ini al-Amin (gelaran kepada Rasulullah SAW). Kami rela dengan hukumannya. Apabila Baginda diberitahu tentang pertelingkahan tersebut, Baginda menyelesaikan masalah itu dengan penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak yang bertelingkah.

Baginda membentangkan kain selendangnya, kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda kemudiannya menyuruh setiap kabilah niemegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya ke tempatnya dengan tangan Baginda.

Mereka semua berpuashati. Allah telah mengelakkan daripada berlaku pertumpahan darah orang-orang Arab melalui kecerdikan dan kebijaksanaan akal Baginda sehingga ke satu tempoh yang hanya diketahui oleh Allah.

Kepentingan Rekod Akhlak Yang Terjaga

Kehidupan  pendakwah  yang  lurus  semasa  remaja  dan  perjalanan  hidup  yang  baik lebih menjamin kejayaan beliau  dalam  dakwah  kepada  Allah,  pengislahan  akhlak  dan memerangi mungkar. Ini kerana, dia tidak akan berhadapan dengan orang yang mencemuh keperibadiannya ketika dia masih belum berkecimpung dalam dakwah.

Ramai yang kita temui melakukan dakwah islah, khususnya pengislahan akhlak; faktor terbesar orang ramai menolak mereka ialah komen terhadap latar belakang hidup mereka yang tercemar dan akhlak mereka yang menyeleweng.

Bahkan rekod masa lampau yang buruk menimbulkan keraguan terhadap kejujuran pendakwah seperti mereka. Mereka juga dituduh hanya memulakan seruan pengislahan setelah merasa puas dengan kelazatan hidup dan syahwat.

Sementara itu, pendakwah yang hidup di atas landasan yang betul semasa remajanya akan  sentiasa  tidak  boleh  diperendah-rendahkan.  Musuh-musuh  pengislahan  tidak menemui jalan untuk mencemuh masa lalunya yang terdekat mahupun yang lampau. Mereka tidak mampu mengeksploitasi sejarah lampau yang terpesong untuk memburukkan namanya atau mengajak orang ramai memperlekehkannya.

Betul !, Allah menerima taubat orang yang bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan jujur dan ikhlas. Allah menghapuskan kejahatan yang lalu dengan kebaikan beliau yang kini. Akan tetapi, perkara ini tidak sama dengan pendakwah yang menunggu-nunggu kejayaan dakwahnya, disebabkan perjalanan hidupnya yang sentiasa berada di atas landasan yang lurus dan reputasinya yang baik. Oleh sebab itulah Nabi Muhammad dijagai Allah reputasi disepanjang kehidupan Baginda.

Rujukan

[1] Muhammad Al-Khudory, Nurul Yaqeen Fi Seerah Sayyid Al Mursalin, hlm 11, jld 1. Ibn Hisyam, Sirah, hlm 319 jld 1.

Related posts

Leave a Comment