Taysir Yang Sahih dan Tercela

Oleh itu Fiqh Taysir dapat dibahagikan kepada dua :

Bahagian  pertama :

Fiqh Taysir yang diharuskan/ yang sahih/ yang syar’ie, iaitu tindakan mengambil kemudahan berdasarkan asas dan kaedah syarak dalam pengistinbatan hukum dan pentarjihan di antara dalil-dalil hukum.

Bahagian kedua :

Fiqh Taysir yang dicela pula ialah tindakan mengambil kemudahan berdasarkan kehendak hawa nafsu tanpa meraikan asas dan kaedah syarak dalam pengistinbatan hukum dan pentarjihan di antara dalil-dalil hukum.[1]

Sesetengah orang barangkali memahami bahawa manhaj memudahkan atau Fiqh Taysir bererti mencari-cari rukhsah(Tatabu’ Rukhas), dan mengambil pendapat yang paling mudah dan ringan semata-mata, sedangkan ini bukanlah apa yang diinginkan.

Mencari-cari rukhsah(Tatabu’ Rukhas) adalah berbeza dengan tindakan mengambil rukhsah. Termasuk dalam method Taysir apabila seseorang memberi fatwa dengan rukhsah, iaitu dia tidak menyembunyikan rukhsah daripada orang ramai.

Ada orang yang sentiasa memberi fatwa dengan azimah(hukum asal tanpa keringanan) serta menegaskannya kepada orang ramai. Semua orang menurutnya adalah sama, tetapi sikap ini adalah tidak tepat, kerana terdapat orang yang berhajat kepada rukhsah.

Paparan Taysir Sahih

Contoh terbaik ialah ketika Nabi s.a.w. melihat seorang sahabat yang sedang mendapat bantuan kecemasan oleh orang sekelilingnya, mereka berterusan merenjis air ke atasnya, maka Baginda bertanya: Apa yang berlaku?

Mereka menjawab: dia seorang yang berpuasa wahai Rasulullah.

Sabda Baginda:

لَيْسَ مِنْ الْبِرِّ الصِّيَامُ فِي السَّفَرِ

Tidaklah termasuk perkara yang baik berpuasa semasa musafir”. Hadis riwayat  Abi Daud no. 2055

Seakan-akan Baginda bertanya: kenapa dia berpuasa dalam situasi musafir yang sukar ini? Sehingga kalau pun puasa yang dilakukannya itu adalah puasa fardu, dia layak berbuka puasa, kerana Allah tidak memerlukan perbuatan seperti ini.

Pada situasi yang lain pula ketika Baginda melihat ada seorang semasa haji dalam keadaan yang sangat letih, Baginda bertanya: mengapa begini?

Orang ramai memberitahu bahawa orang itu bernazar melakukan haji dengan berjalan kaki, lalu Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَنْ تَعْذِيبِ هَذَا نَفْسَهُ لَغَنِيٌّ وَأَمَرَهُ أَنْ يَرْكَبَ

“Allah Maha Kaya, tidak memerlukan perbuatan menyeksa diri ini, dan dia diarahkan untuk menaiki kenderaan”. Hadis riwayat Bukhari no. 1732

Quran menyatakan :

وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ

Dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu.  (al-Baqarah:220)

Tetapi Allah tidak menyukai perbuatan menjerumuskan diri ke dalam kesukaran, begitu juga Nabi s.a.w. tidak suka kerumitan untuk kita.

Baginda tidak suka kerumitan dalam sebarang perkara. Maka mengambil rukhsah  adalah dituntut dan hadis menyatakan:

وإن الله يحب أن تـُؤتى رُخَصُه , كما يحب أن تـُؤتى عزائمُه ,

Allah suka kamu mengambil rukhsahNya sama sebagai mana Dia benci kamu melakukan maksiat kepadaNya, dan sama sebagaimana Dia suka kamu mengambil azimahNya”. Sahih Ibnu Hibban no. 355

Ini khususnya kepada orang yang berhajat kepada rukhsah. Jika seseorang yang lemah, maka untuk menjaga aspek kelemahannya, berilah pandangan  dengan menggunakan instrumen rukhsah.

Contohnya seorang yang bermusafir, orang tua, wanita yang hamil atau bersama anak kecilnya. Hendaklah seseorang itu “memudahkan” khasnya ahli fiqh, dan Mufti. Ketika ada orang bertanyakan pandangan fiqh atau fatwa dan dia melihat orang itu lemah serta memerlukan rukhsah, maka berilah fatwa rukhsah, jangan bersikap rigid kepada orang ramai terus menerus.

Rujukan

[1] Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Hj Azahari, Fiqh Taisir Dalam Ibadat Haji, m.s. 4, Kertas Kerja 1, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 31, 1436H, Alor Setar.

Siri Pengenalan Fiqh Taysir

Related posts

Leave a Comment