TRAUMA AUTOKRASI AGAMAWAN DI EROPAH

FASA GELAP EROPAH

Era kejatuhan Eropah, atau disebut sebagai fasa kegelapan Eropah ‘The Dark Age’, merupakan sejarah yang penting untuk difahami kerana ia menjadi titik mula kebangkitan Eropah ‘Era Renaissance’ . Tokoh-tokoh yang menjadi pelopor kepada perubahan tersebut mengangkat tema rasional minda dan kajian-kajian yang berpijak dibumi nyata kerana begitu lama minda mereka tertutup oleh kongkongan pemuka Gereja yang menjalankan pemerintahan secara Teokrasi.  Dalam usaha meneliti bagaimana tersebarnya ideologi Barat terhadap umat Islam, perlu juga mengetahui punca kemunculannya.

APA ITU PEMERINTAHAN TEOKRASI?

Teokrasi merujuk kepada kerajaan yang mengiktiraf Tuhan atau Dewa sebagai Tuhan. Pemerintahan Teokrasi bererti meletakkan sepenuhnya sistem dan perjalanan kekuasaan yang disandarkan kepada wakil Tuhan iaitu penguasa Gereja (Rijaluddin).  

 

Menurut Ensiklopedia Katholik “Teokrasi ialah satu kerajaan yang mengiktiraf Tuhan atau dewa sebagai pemerintah teragung. Bagi penganut, teokrasi adalah bentuk kerajaan yang mana suatu kuasa ketuhanan mentadbir negeri insani duniawi, sama ada dalam bentuk jelmaan manusia, atau selalunya, melalui wakil institusi keagamaan (seperti gereja) yang mengambil tempat atau mendominasi kerajaan awam”.

KEZALIMAN AGAMAWAN GEREJA

Dominasi kumpulan Gereja sekitar abad 15 – 18 menjadi suatu titik hitam bagi rakyat di Eropah.

Dr. Ghalib bin Ali Al ‘Awaji, seorang Ulamak dari Saudi menyenaraikan beberapa perlakuan agamawan Gereja pada waktu itu yang teramat zalim dan tidak berperikemanusiaan.
 
i. Menyenarai hitam golongan penentang Gereja melalui hukum ‘Heresy’ (ahli bid’ah). Sebarang usaha untuk mengkritik, menghina dan melawan akan diheret ke kandang pesalah. 
 
ii. Menyusun sistem ibadat rakyat secara paksa keseluruhannya termasuk urusan dunia dan akhirat. 
 
iii. Wajib mentaati agamawan gereja sebagai wakil Tuhan tanpa sebarang pertikaian. Mempertikai agamawan gereja bermaksud melawan Tuhan. 
 
iv. Meletakkan polisi untuk beribadah, iaitu hanya boleh dilakukan melalui perantara gereja sahaja. Tidak boleh ‘direct’ kepada Tuhan apatah lagi meminta kepada selain gereja.
 
v. Autoriti untuk memahami kandungan Bible sepenuhnya pada agamawan gereja, adapun rakyat biasa tidak diizinkan walaupun berilmu dan cerdik. 
 
vi. Konsep taubat yang dibuat adalah dengan cara mengisytihar kesalahan-kesalahan dihadapan agamawan gereja yang memiliki kuasa pengampunan mutlak. 
 
vii. Kuasa pengampunan yang digazetkan sebenarnya helah yang dijadikan ruang untuk mengutip keuntungan bagi pihak Gereja. 
 
viii. Mewajibkan satu hari bekerja tanpa gaji (ikhlas) setiap minggu demi Tuhan di tanah-tanah milik Gereja, juga mewajibkan derma satu persepuluh pendapatan setiap rakyat kepada Gereja atas nama agama. 
 
ix. Gereja memperkenalkan istilah-istilah yang hanya difahami maksud dan huraiannya oleh agamawan gereja. Maka Bible tidak boleh dimiliki dan dibaca oleh orang awam. Sesiapa yang membacanya pula tidak diiktiraf apa jua huraiannya.

ULASAN DAN PENGAJARAN

Beberapa kesimpulan daripada poin-poin di atas :

  • Rakyat Eropah merasa trauma yang dahsyat terhadap agama, dan hilang kepercayaan terhadap golongan gereja. Tidak boleh dikritik, seterusnya menerima hukuman yang terlalu berat dan tidak setimpal menjadi punca utama kebencian mereka. Menurut satu catatan, dalam tempoh 18 tahun sahaja (1481-1499) puluhan ribu sarjana dan rakyat yang mati dibakar hidup-hidup, ribuan digantung dan ribuan lagi yang diseksa dengan pelbagai seksaan terutama kaum wanita.
  • Sebab ini jugalah yang menjadikan orang Eropah begitu anti terhadap Islam kerana menganggap Islam juga sedemikian rupa. Mereka memaksa umat Islam untuk memahami agama melalui naratif dan trauma mereka walhal Islam tidak memiliki latar sejarah sebegini. Akhirnya, rakyat Eropah bangkit membina kemajuan mereka dengan menanggalkan agama mereka, umpama kata-kata Frederic Nistze 'Tuhan telah mati' , lalu bangkitnya manusia dengan ilmu mereka sendiri tanpa perlunya Tuhan sekaligus mengakhiri era Ketuhanan (Teokrasi) dan memunculkan era Homo mensura (era manusia). Sedangkan Islam sendiri meletakkan kedudukan ilmu dan ahlinya pada kedudukan yang tinggi.
  • Imej agama yang dibawa di Eropah menafikan kemampuan akal untuk berfikir sepenuhnya. Sedangkan di dalam Islam amat mengakui fungsi akal sebagai alat untuk memahami wahyu Ilahi. Pertentangan agamawan gereja dengan Ilmuan Barat tanpa sebarang logika yang munasabah melahirkan fahaman Rasionalisme dan Empirisme. Antara tokoh-tokohnya adalah Rene Descarte, John Lock, Blaise Pascal dan David Hume.
  • Konsep Ibadah di dalam Islam dibahagi kepada dua asas iaitu perkara Usul dan cabang. Islam meletakkan beberapa ibadah khusus yang wajib diikut, dan memberi kaedah dalam beramal secara umum secara pilihan mengikut kesesuaian dan uruf. Nyata ia berbeza dengan pengamalan agamawan gereja yang memaksa untuk rakyat mengikut kesemuanya dengan alasan ia perintah Tuhan!
  • Konsep agamawan gereja amat bercanggah dengan konsep Ulamak dalam Islam. Islam tidak memberikan 'ismah (kuasa mutlak) kepada para Ulamak, bahkan rakyat biasa berhak menegur sekiranya melihat berlakunya kesilapan oleh mereka. Pengiktirafan golongan berilmu dalam Islam sesekali tidak menghalalkan untuk mereka melakukan agama sewenang-wenangnya, begitu juga Islam tidak mengajar untuk menghina mereka yang bukan Ulamak.
  • Muhammad Qutub dalam tulisannya amat menegah untuk umat Islam menggunapakai istilah Rijaluddin. Menurut beliau, di dalam Islam hanyalah ada Rijal Solihin yang terikat dengan wahyu Ilahi. Ia bermaksud Islam terpelihara daripada meletakkan kefanatikan atau taqdis (penyucian) terhadap tokoh-tokoh agama sebagaimana Barat pada era Gereja, sedangkan mereka tidak berfungsi untuk kebaikan umat. Adalah suatu yang tidak boleh diterima akal, menggelar diri Rijaluddin dalam masa yang sama melakukan perkara yang bercanggah dengan norma agama.
  • Menganggap sama konsep Agamawan disisi Barat dan Islam bakal menjauhkan umat dari Islam. Apatah lagi dengan rasional secara fitrah manusia menilainya tanpa prejudis dan berkepentingan melihat berlakunya persamaan tersebut. Sedangkan Islam amat mengiktiraf peranan akal. Al Quran merakamkan perkataan akal dan pecahannya sebanyak 49 kali sebagai bukti kukuh betapa agama dan akal itu berjalan selari. Bahkan sejak dari awal lagi, pembuktian kewujudan dan keesaan Allah itu sendiri mestilah berpaksi pada kerasionalan akal manusia.
  • Kesan trauma yang dihadapi oleh Eropah menyebabkan setiap apa yang dibawa oleh agama akan ditolak, ataupun akan diolah supaya sesuai dengan kehendak manusia. Perihal ini mengheret untuk mereka melakukan perkara yang sama terhadap Islam dan penganutnya melalui kempen Islamophobia. Adalah suatu yang malang apabila umat Islam dengan kejahilannya terhadap isu ini lalu mempelajari Islam melalui Barat yang akhirnya membawa kepada meninggalkan agama secara beransur.
  • Al Quran tidak hanya eksklusif pada golongan tertentu. Semua umat Islam bahkan bukan Islam sekalipun berhak untuk membaca dan menelitinya. Sebab itu sekiranya berlaku percanggahan isinya akan diketahui oleh umat. Adapun untuk mentafsir dan menghuraikannya secara mendalam, barulah dikhususkan kepada Ulamak.
  • Kesimpulan yang paling utama adalah apabila gejala yang pernah dialami pihak Gereja ini dilihat berlaku terhadap umat Islam. Iaitu pengasingan antara akal dan wahyu. Agama dilihat tidak releven bukan kerana tidak logik, tetapi kelemahan agamawan dalam memberi faham kepada umat, apatah lagi membawa naratif dan istilah yang sukar difahami, kemudian dipaksa untuk diterima kerana ia perintah Tuhan.

RUJUKAN

– Al Mazahib Al Fikriah Al Mu’asirah Dr Ghalib bin Ali Al  ‘Awaji
– Mazahib Fikriah Mu’asirah Muhammad Qutub
– Agama dan Falsafah Dr Ramadhan Al Buti

Related posts

Leave a Comment